Home Nasional Bekalan beras negara mencukupi

Bekalan beras negara mencukupi

Joko

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa memastikan stok bekalan beras negara mencukupi mengikut kadar ditetapkan, meskipun berlaku kejadian bencana alam atau ketika musim perayaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini, kerajaan mempunyai sejumlah 150,000 tan metrik dalam stok penimbal bekalan beras negara.

“Selain itu, bagi memastikan bekalan beras sentiasa memenuhi keperluan, kerajaan turut bekerjasama dengan negara jiran menerusi Perjanjian Asean sekiranya terdapat kekurangan bekalan beras di sesebuah negara kita boleh segera mendapatkan bekalan beras dari negara jiran terlibat,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Lucas Umbul mengenai mekanisme kementerian dalam menyediakan pelan kecemasan sekiranya berlaku kekurangan bekalan beras ketika bencana alam dan musim perayaan.

Ahmad Shabery berkata penggunaan tanah juga perlu ditingkatkan agar dapat menampung keperluan beras negara melalui skim penanaman padi secara individu kepada estet, secara tidak langsung bakal memberi hasil jualan yang baik.

Katanya antara lain, kerajaan turut menambah beberapa kawasan jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak bagi memperluas kawasan penanaman padi di seluruh negara. –  MalaysiaGazette