Cheng Hoe

KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan kemenangan besar 7-0 Malaysia ke atas Bhutan pada aksi persahabatan antarabangsa Kelas A malam ini sebagai hadiah kemenangan kepada seluruh penyokong bola sepak tanah air.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu, Malaysia mudah menjinakkan pasukan berstatus semi pro yang menghuni ranking ke-188 dunia itu apabila mendahului 5-0 pada separuh masa pertama sebelum menambah dua lagi jaringan pada babak kedua permainan.

Cheng Hoe yang dilantik sebagai ketua jurulatih pada Disember tahun lalu selepas Nelo Vingada meletak jawatan susulan prestasi buruk skuad kebangsaan sebelum ini berkata, kejayaan itu merupakan hadiah buat para pemain, penyokong dan barisan jurulatih serta pihak pengurusan yang selama ini dahagakan kemenangan.

“Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain dan semua pihak yang berkerja keras selama ini. Mereka dahagakan kemenangan dan kita boleh nampak mereka (pemain) dari minit pertama hingga ke minit 90 berjuang berhabis-habisan untuk menamatkan badi 12 perlawanan tanpa kemenangan.

“Hari ini kita dapat pamerkan satu permainan yang terbaik dan konsisten. Ia adalah hadiah kemenangan untuk semua, namun kita masih lagi perlu perbaiki sedikit kelemahan di mana ada waktunya pemain seakan hilang fokus dan saya percaya ia dapat diatasi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan di sini, malam tadi.-BERNAMA