Home Politik Manifesto PH mahu kaji projek mega boleh jejaskan hubungan dengan China

Manifesto PH mahu kaji projek mega boleh jejaskan hubungan dengan China

KUALA LUMPUR – Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu mengkaji semula projek-projek mega dengan negara China mencetuskan kebimbangan seterusnya memberi kesan negatif kepada negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, tindakan itu akan menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan China menjadi salah satu penyumbang kepada peningkatan perdagangan dalam negara.

“Namun demikian kita bimbang dengan janji manifesto Pakatan Harapan yang mengatakan semua projek mega dengan negara China akan dikaji semula kita yakin Pakatan Harapan tidak akan memerintah negara ini tetapi jika itu yang dilakukan ini akan menjejaskan hubungan kita dengan negara China menjejaskan harga kelapa sawit, getah dan pelaburan.

“Oleh itu kerajaan Barisan Nasional akan tetap memupuk hubungan baik dengan negara China kerana ia telah mendatangkan banyak faedah kepada negara kita termasuklah untuk mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan,” katanya dalam Dewan Rakyat menjawab soalan daripada Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN- Tanjong Piai) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Jeck Seng mahu Mustapha menyatakan adakah kementerian membuat analisis kepentingan negara untuk ‘One Belt One Road Initiative’ dan apakah mekanisme dasar telah dilaksanakan untuk memastikan rakyat dapat menikmati manfaat tersebut.

Mustapha (BN-Jeli) sebelum itu memaklumkan eksport Malaysia meningkat 28 peratus pada tahun lepas dengan manakala perdagangan dengan negara itu meningkat 20.6 peratus dengan jumlah RM20, 229 bilion.

“Negara China merupakan rakan dagangan Malaysia, tahun lepas perdagangan dengan China berkembang pada kadar 20.6 peratus eskport kita meningkat 28 peratus jumlah perdagangan adalah 20 229 bilion ringgit termasuklah kelapa sawit, getah,” tambahnya.

Jelas beliau lagi, bukan sahaja ekonomi negara yang akan dapat meningkat dengan jalinan kerjasama baik dengan China malah rakyat khususnya di kalangan miskin juga boleh mendapat peluang pekerjaan dengan projek-projek yang dijalankan di dalam negara.

“Sektor yang diberi tumpuan sudah pasti pelaburan adalah penting sebenarnya negara China kita memberi tumpuan kepada semua sektor pelaburan, perdagangan , pelancongan infrastruktur kerana China mempunyai kemampuan yang hebat dan teknologi yang hebat dan modal yang besar.

“Kita telah mendapat faedah yang besar daripada hubungan yang baik dengan negara China yang nombor dua terbesar di dunia juga mempunyai teknologi yang hebat, boleh melabur di seluruh dunia, mempunyai modal yang besar.

“Seluruh negara menjalankan usaha bagi menarik pelaburan ekonomi dengan negara China oleh itu dasar Malaysia tepat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette