Home Nasional Bahaya berita palsu kepada Malaysia

Bahaya berita palsu kepada Malaysia

Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Kebebasan bersuara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak akan disekat di bawah Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menerusi artikel bertajuk “Berita Palsu Melemahkan Demokrasi” yang dimuatkan dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.com hari ini, beliau berkata kerajaan tidak akan sendiri membuat keputusan apa yang ditakrif sebagai berita palsu.

“Sebaliknya, ia akan membenarkan pihak neutral iaitu mahkamah untuk membuat keputusan melalui proses undang-undang bebas. Seperti yang kita lihat sejak bekas pemimpin meletak jawatan dan kebebasan kehakiman telah pulih, keputusan mahkamah kini sering bertentangan dengan kerajaan dan menteri kanan, ” kata beliau.

Salleh berkata satu-satunya orang yang harus takut kepada Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 bukan mereka yang menyampaikan pendapat secara jujur, dan melaporkan secara cermat dan benar mengikut protokol kewartawanan.

“Tidak, orang yang perlu takut adalah mereka yang menyiarkan atau menyampaikan berita palsu atau pembohongan, kepada anda dan saya. Jika kita dikritrik kerana berada di pihak yang benar, biarkanlah. Itulah kritikan yang boleh kita terima dengan hati yang baik, ” katanya.

“Dan kita tidak akan berhenti mengkritik mereka yang mengelirukan fakta kerana kita yakin dengan memutar-belitkan fakta dan memperdayakan orang ramai, mereka akan meruntuhkan demokrasi untuk kepentingan diri mereka sendiri, ” kata beliau.

Salleh menarik perhatian bahawa kerajaan ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan langkah-langkah yang paling meluas sejak merdeka untuk mengukuhkan kebebasan bersuara dan demokrasi.

Sebagai contoh, Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan; Keadaan Darurat yang wujud selama lebih 60 tahun berakhir; kebebasan media meningkat dengan memansuhkan sekatan ke atas lesen penerbitan akhbar; Akta Universiti dan Kolej Universiti telah diperbaharui untuk membolehkan pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti politik; dan Akta Perhimpunan Aman, buat kali pertama mengabadikan dalam undang-undang, hak untuk berhimpun secara aman.

“Jadi adalah jelas kerajaan ini akan bertindak apabila perlu untuk melindungi keselamatan dan kebebasan rakyat dan proses demokrasi. Dan tidak ada sebarang keraguan bahawa undang-undang antiberita palsu ini adalah perlu,” kata Salleh.

Beliau berkata, Malaysia tidak bersendirian dalam pandangan itu kerana negara-negara di seluruh dunia, termasuk jiran-jiran dalam ASEAN, Singapura dan Filipina, sedang mempertimbangkan atau telah memperkenalkan undang-undang yang sama untuk memerangi berita palsu.

Beliau berkata, negara-negara Eropah yang terkenal kerana menggalakkan kebebasan bersuara dan hak sivil juga menangani fenomena berita palsu melalui perundangan dan cara lain, kata Salleh.

Trend adalah jelas: negara-negara yang ingin menggalakkan perdebatan sihat dan proses demokrasi berdasarkan fakta-fakta menyedari bahawa mereka mesti bertindak terhadap musuh nombor satu berita palsu.

Salleh berkata, berita palsu menimbulkan cukup bahaya kepada demokrasi dan keharmonian Malaysia.

“Kita ambil contoh, berita palsu kononnya 40,000 warga Bangladesh diterbangkan ke Malaysia untuk mengundi semasa pilihan raya yang lepas.

“Tiada kelibat mereka ditemukan. Namun ramai yang percaya bahawa pengundi hantu ini adalah benar dan membawa kepada ketegangan kaum dan rasa tidak percaya kepada proses pilihan raya, ” kata beliau.

Salleh berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila media antarabangsa termasuk agensi berita mendapatkan fakta yang salah sama sekali dan pada masa pembetulan dibuat, laporan palsu itu telah tersebar di seluruh dunia dan dicetak dalam akhbar dan disiarkan dalam talian di seluruh benua.

Salleh berkata, bagi beberapa penerbitan dan media antarabangsa, fakta, proses dan etika kewartawanan tidak lagi sesuai, disebabkan kewartawanan yang cuai dan kempen memburuk-burukkan telah menular dalam artikel mereka.

“..Sama ada mereka sengaja atau cuai, mereka adalah contoh maklumat salah. Ini adalah berita palsu. Ia adalah bahaya kepada kita semua.

“Kerajaan Malaysia bersama-sama kerajaan yang lain di seluruh dunia, tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah yang perlu menjelang pilihan raya bagi memastikan demokrasi tidak diracuni dengan pembohongan, kepalsuan, kempen memburuk-burukkan dan andaian, ” kata Salleh.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sekurang-kurangnya berhak mendapatkan maklumat yang betul, dan pembangkang dan beberapa organisasi media yang menyokong mereka seolah-olah tidak bersetuju.

“Mereka mungkin lebih suka memutar-belitkan, memburuk-burukkan dan melakukan pembohongan secara terang-terang tetapi kerajaan akan terus berusaha untuk menegakkan kebenaran, ” kata Salleh. – MalaysiaGazette