Home Nasional Isu penstrukturan air, tukar kerajaan lewatkan loji rawatan air Selangor

Isu penstrukturan air, tukar kerajaan lewatkan loji rawatan air Selangor

Berdasarkan laporan jam 7 pagi tadi, bekalan air sudah kembali operasi.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Isu penstrukturan air serta pertukaran kerajaan negeri di Selangor menyebabkan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2) ditangguhkan beberapa kali, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S. K. Devamany berkata, kesukaran dalam mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan seperti permit pengeluaran hasil hutan atau batuan dan Kebenaran Merancang turut menyebabkan kelewatan penyiapan projek itu.

“Pada asalnya, projek LRAL2 yang bermula pada 2008 dijadualkan untuk siap sepenuhnya pada 2014. Bagaimanapun, disebabkan isu penstrukturan air serta pertukaran kerajaan negeri menyebabkan projek ini telah ditangguhkan beberapa kali, penangguhan ini menyebabkan kelulusan yang diperoleh sebelum ini perlu dikemukakan semula disebabkan penukaran polisi, syarat-syarat dan kepegawaian,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengenai status LRAL2 dan sebab ia masih tergendala.

Beliau berkata pelaksanaan LRAL2 terbahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa Pertama yang dijangka siap tahun ini meliputi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) yang akan membekalkan bekalan air sebanyak 565 juta liter sehari ke Kolam Air Hulu Langat. – MalaysiaGazette