Othman Aziz

KUALA LUMPUR- Pendapatan negara yang disumbang oleh sumber petroleum dijangka meningkat berdasarkan harga purata minyak mentah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, harga purata minyak mentah berlegar sekitar AS$66.7 setong dari 1 Januari sehingga 23 Mac lalu.

Tambahnya, harga minyak mentah adalah lebih tinggi berbanding jangkaan kerajaan dalam Bajet 2018 yang meramalkan harga purata komoditi tersebut berada pada paras AS$52 setong dengan perolehan keseluruhan tahunan sebanyak RM37.8 bilion.

“Secara purata, setiap peningkatan sebanyak AS$1 setong, pendapatan kerajaan akan bertambah sebanyak RM300 juta setahun dengan syarat pengeluaran minyak mentah dan kadar tukaran asing tidak berubah.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menentukan impak yang bakal dibawa oleh peningkatan purata harga petroleum berbanding unjuran yang dibuat semasa Bajet 2018,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang bertanyakan harga ambang minyak mentah yang digunakan sebagai anggaran perolehan pendapatan negara di bawah Bajet 2017 dan 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Othman, harga purata minyak mentah pada 2016 adalah AS$44.1 setong dengan pendapatan negara yang dijana oleh petroleum adalah sebanyak RM31 bilion.

Semasa Bajet 2017, kerajaan mengunjurkan harga minyak mentah dunia berada pada paras AS$50 setong yang unjuran pendapatan sebanyak RM33.6 bilion namun pendapatan sebenar meningkat kepada RM34.6 bilion apabila harga minyak mentah setong adalah lebih tinggi iaitu AS$54.4.

Menjawab satu soalan tambahan, Othman berkata, kerajaan akan mengambil langkah perlu sekiranya harga minyak mentah melonjak secara agresif.

Jelasnya, dalam tempoh 52 minggu, harga minyak berada di paras terendah iaitu AS$44 dan paling tinggi sebanyak AS$71.

Katanya, sekiranya harga meningkat sehingga AS$70 dan AS$80 dalam jangka masa panjang, kerajaan akan mengambil beberapa langkah untuk menghalang pengguna dan industri daripada terkesan dengan impak tersebut. – MalaysiaGazette