Saya percaya pengundi di Teluk Intan akan memberi penilaian yang sewajarnya kerana saya telah memberi perkhidmatan secara ikhlas selepas memenangi semula kerusi ini. - Mah Siew Keong

TELUK INTAN – Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong yang pernah mengalami kekalahan di kerusi Parlimen Teluk Intan sebelum memenanginya semula dalam pilihan raya kecil tidak akan menerima pelantikan sebagai Senator jika kalah lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menegaskan kepada Sinchew Daily bahawa dirinya tidak akan menerima pelantikan sebagai menteri jika kecundang lagi di Teluk Intan.

“Saya tahu pembangkang propagandakan tidak kisah Mah Siew Keong kalah kerana dia tetap akan dilantik sebagai Senator dan menteri melalui jalan belakang sekali gus terus berkhidmat kepada pengundi.

“Saya bagaimanapun mahu memberitahu  bahawa mereka tidak betul dan saya tidak akan menjadi menteri jika kalah dalam pilihan raya,” katanya.

Siew Keong dilapor berkemungkinan berdepan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang dipindah dari kerusi Parlimen Taiping ke Teluk Intan, semata-mata untuk berdepan Siew Keong.

Siew Keong mengakui bahawa semua calon Barisan Nasional (BN) akan berdepan kesukaran di kerusi yang mempunyai kurang daripada  50 peratus pengundi Melayu.

Teluk Intan mempunyai 42 peratus pengundi Cina, 38 peratus pengundi Melayu dan 20 peratus pengundi India sekali gus menjadikan ia kerusi yang berisiko tinggi buat BN.

“Walau bagaimanapun, saya percaya pengundi di Teluk Intan akan memberi penilaian yang sewajarnya kerana saya telah memberi perkhidmatan secara ikhlas selepas memenangi semula kerusi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Siew Keong berkata, Gerakan akan terus wujud walaupun timbul slogan “bunuh Siew Keong untuk bunuh Gerakan” dalam alam maya.

“Gerakan yang berjuang untuk cita-cita Malaysia tidak akan hilang walaupun saya kalah dalam pilihan raya ,” katanya. – MalaysiaGazette