KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad malam ini mengumumkan gabungan itu akan menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, empat parti dalam PH telah mencapai kata sepakat walaupun ia satu keputusan yang sukar.

Jelas bekas Perdana Menteri keempat itu, simbol PKR terpaksa digunakan selepas kegagalan mendaftarkan PH sebagai satu pakatan parti yang sah.

“Bukan mudah hendak guna satu simbol parti. Macam DAP telah berpuluh tahun guna simbol roket.

“Tapi malam ini, saya ingin beritahu seluruh negara dan juga satu dunia, PH yang terdiri daripada empat parti akan menggunakan simbol PKR pada PRU-14,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Harapan Johor di Pasir Gudang di sini yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook malam ini.

Sebelum itu dalam ucapannya, Mahathir menggesa hadirin yang hadir mengambil wang yang diberikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Namun pada masa sama, beliau mahu pengundi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

“Najib bagi, kita sapu. Duit itu milik kita namun Najib telah curi. Beliau kini guna undang-undang untuk halang PPBM untuk bertanding,” katanya.

Sebelum itu, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu mengumumkan timbalannya, Salahuddin Ayub  akan bertanding di Parlimen Kulai. – MalaysiaGazette