Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilihat calon Barisan Nasional (BN) paling layak bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak (BTR).

Sekiranya Tengku Adnan atau Ku Nan terpilih ia dapat merapatkan kembali saf pimpinan UMNO dan komponen BN itu sendiri.

Pengerusi NGO No 1 Malaysia, Mohd. Ali Baharom berkata, Ku Nan mudah menang di Bandar Tun Razak kerana selain Menteri Wilayah Persekutuan, beliau juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan.

“Paling penting, ia dapat menaikkan kembali keyakinan pengundi di BTR dan memantapkan misi BN menguasai lebih banyak parlimen di Kuala Lumpur.

“Sebagai ‘ketua kampung’ saya rasa Ku Nan dapat menyatukan semula ahli-ahli BN dan memberi keyakinan kepada pengundi kerana beliau pandai menjaga hati rakyat,” ujarnya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Menurut Mohd. Ali yang dikenali Ali Tinju, lebih penting, pemilihan Ku Nan juga dapat menyelesaikan isu Ketua Bahagian UMNO BTR, Datuk Rizalman Mokhtar yang terpalit dengan dakwaan kes dadah baru-baru ini.

Bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Ali Tinju mencadangkan ia diberi kepada calon-calon muda baik dari UMNO dan MCA.- MalaysiaGazette