Menurut penganalisis, pembubaran Parlimen pada awal April adalah bertujuan memberi laluan kepada pilihan raya dalam bulan April, yang dilihatnya sebagai bulan bertuah Barisan Nasional (BN) seperti dibuktikan dalam sejarah.

KUALA LUMPUR – Walaupun ramai orang mengaitkan tarikh pembubaran Parlimen pada 7 April dengan nombor 11 (7+4) yang dikatakan merupakan nombor bertuah Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi penganalisis politik Datuk Cheah See Kian mempunyai pandangan berbeza.

See Kian berkata, pembubaran Parlimen pada awal April adalah bertujuan memberi laluan kepada pilihan raya dalam bulan April, yang dilihatnya sebagai bulan bertuah Barisan Nasional (BN) seperti dibuktikan dalam sejarah.

Beliau berkata, BN pernah mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya April yang dijalankan pada 1964, 1982 dan 1995 dan mahu mengulangi kejayaan itu.

“Saya boleh katakan bahawa April dilihat sebagai bulan bertuah buat BN,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Katanya, Pilihan Raya 2008 dan 2013 pada Mac dan Mei memberi tamparan kepada BN manakala Jun merupakan bulan puasa sementara Julai dan Ogos adalah terlalu lewat.

Keadaan itu, menurut See Kian, menjadikan April bulan bertuah dan bulan sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Beliau justeru cenderung percaya bahawa Najib mengharapkan pilihan raya diadakan pada April dan tarikh yang mungkin dijadikan hari mengundi ialah 28 April. – theRakyat