Noh Omar

KUALA LUMPUR – Seolah memahami situasi dan penderitaan rakyat Selangor yang saban tahun mengalami masalah gangguan bekalan air, janji yang ditawarkan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk memuktamadkan penstrukturan perjanjian air di negeri itu disifatkan tepat pada waktunya.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, jaminan itu sudah tentu akan menjadi salah satu tindakan segera yang akan diambil BN jika berjaya merampas semula negeri yang pernah ditabdirnya itu.

“Antara yang terkandung di dalam manifesto kami salah satunya untuk menyelesaikan masalah air, telahpun diberi janji oleh Perdana Menteri, kalau Selangor menang, kita akan bertindak segera untuk memuktamadkan pengambilan penstrukturan semula air di Selangor,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, Noh Omar turut menyambut baik usaha konsisten kerajaan persekutuan untuk menyediakan rumah mampu milik yang kini semakin sukar dilihat di Selangor.

“Kedua mengenai bekalan rumah mampu milik ini amat penting kerana di Selangor kita lihat rumah yang ada hari ini bukannya rumah mampu milik tapi rumah mampu lihat,” tambah Ahli Parlimen Tanjong Karang itu.

Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menyambut baik hasrat BN untuk memperkukuhkan sistem pendidikan pelbagai aliran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak dilupa juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Temubual bersama Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2018.

“Manifesto kali ini lebih inklusif merangkumi semua bidang termasuk juga pendidikan bahasa Cina.

“Kita yakin bahawa dengan adanya sokongan kerajaan kita dapat bangunkan pendidikan pelbagai aliran,” katanya.

Selain itu aspek pembangunan ekonomi kaum Cina, kerajaan berazam untuk membantu usahawan kecil dan sederhana masyarakat Cina. -MalaysiaGazette