Setiausaha Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seolah tidak sedar diri kerana berterusan mempamerkan sikap perkauman apabila menggunakan perkataan ‘keling’ yang dianggap sangat hina dalam kalangan masyarakat India.

‘Keling’ yang berasal daripada perkataan ‘Kalinga’ digunakan pada era penjajahan bagi menggambarkan individu daripada benua kecil India.

Walaupun perkataan itu digunakan secara umum namun sejak 1960an ia digunakan untuk menghina orang India Malaysia.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari berkata, Mahathir tidak pernah serik menggunakan perkataan itu ketika zaman pemerintahannya bagi memberi gambaran tentang masyarakat India di negara ini.

Malah, Vell Paari berkata, sehingga kini Mahathir masih berterusan menggunakan perkataan itu walaupun beliau sedia maklum makna perkataan tersebut bersifat menghina dan merendahkan martabat masyarakat India.

“Satu ketika dahulu, ketika zaman Lim Kit Siang ‘anti’ Mahathir, beliau sering memberi gambaran yang cukup jelas tentang siapakan Tun Mahathir dan sejauh mana beliau boleh menjadi rasis.

“Malah Kit Siang dalam ucapannya berpuluh kali pernah menuduh Mahathir sebagai bapa segala perkauman kerana tidak pernah memberi penghormatan, malah sering memutar belit fakta dan merupakan musuh utama negara.

“Tapi kini semuanya sudah berubah. Kit Siang dan keseluruhan warga DAP sudah lupa dan memaafkan Mahathir tetapi beliau masih belum berubah, masih terus menggunakan perkataan-perkataan yang mampu ganggu gugat keamanan serta sensitiviti kaum di negara ini. Ini kerana beliau adalah manusia kebal yang bebas berbuat apa sahaja.

“Mahathir pernah terima kecaman pelbagai pihak pada 2016 kerana penggunaan ‘keling’ termasuk dari pembangkang, kini beliau guna lagi tetapi sudah tentu semua akan berdiam diri seperti biasa, hanya kerana kemaruk kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Tun Mahathir baru-baru ini yang menggunakan perkataan ‘keling’.

“Saya mahu gunakan perkataan keling. Bak kata keling, ‘podah’ (pergilah) ,” kata beliau ketika berucap kelmarin.

Menurut Vell Paari, selama hampir 22 tahun memerintah, Tun Mahathir seringkali ‘melayan’ masyarakat India seolah-olah golongan itu masyarakat kelas ketiga dan tidak layak diberi penghormatan dalam pelbagai aspek.

“Tapi kini semuanya sudah berubah, bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kita dapat melihat perubahan drastik malah segala lapangan diberi keutamaan kepada masyarakat India terlebih dahulu.

“Ini juga menyebabkan pembangkang gelisah dan cuba memutarbelitkan fakta kononnya kepentingan kami tidak terjaga. Cukuplah. Cuba kita celik dan lihat realiti sebenar.

“Jangan biarkan manusia rasis seperti Tun Mahathir kembali memerintah negara, sampai bila-bila kita akan dipijak dan dipandang hina tanpa sedikit pun rasa bersalah atau belas,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebuah poster yang mengecam tindakan Tun Mahathir menggunakan perkataan ‘keling’ dan tuntutan maaf daripada menjadi viral dalam media sosial ketika ini. – Malaysia Gazette

Sebuah poster mengecam serta menuntut Tun Mahathir memohon maaf kerana penggunaan perkataan ‘keling’