Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S. Thanenthiran membuat laporan polis di Butterworth sebagai mendesak tindakan polis ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikatakan menghina kaum India menggunakan perkataan keling dalam satu cemarah di selatan tanah air baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad didesak supaya memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat India di negara ini ekoran penggunaan perkataan ‘keling’ dalam ceramah umumnya di Muar, Johor baru-baru ini.

Parti Makkal Sakti Malaysia (PMSM) memberi amaran keras dan sanggup hadir di kawasan  Tun M menyampaikan ceramah bagi membuat desakan.

Presidennya,  Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata, satu laporan polis ke atas  Mahathir telah dibuat di Balai Polis Butterworth.

“Tun Mahathir sebagai bekas negarawan seharusnya menghormati sensitiviti dan perasaan kaum India tetapi dia dengan sengaja menggunakan perkataan ‘keling’ itu sebagai merendahkan imej dan maruah kaum India di negara ini.

“Perbuatannya pada ceramah itu membuktikan dia pemimpin yang tidak mahu mengambil peduli hati kaum India dan sengaja menghina masyarakat yang banyak menyumbang kepada negara.

“Kami mendesak polis perlu mengambil menangkap dan bertindak ke atas Tun M tanpa mempedulikan dia seorang ternama atau ‘Tun’ demi menegakkan undang-undang,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Tambah Thanenthiran, beliau kesal dengan sikap pemimpin pembangkang itu yang ‘mempersenda’ masyarakat India selepas menggelar rakyat serta pemimpin Sabah dan Sarawak sebagai pemalas dan tidak mahu bekerja keras dalam hidup.

Dalam perkara yang sama, beliau berkata, masyarakat India juga tidak bersedia untuk menerima penjelasan pemimpin itu kononnya perkataan ‘keling’ telah digunakan beliau terhadap kawan-kawannya sejak kecil di kampung halaman Kedah dan tidak pernah ditegur sesiapa.

“Kami mahu dia buktikan kepada kami siapa kawannya berketurunan Indianya kononnya tidak mempedulikan tegurannya menggunakan perkataan ‘keling’.

“Jika dia masih berdegil, maka kami akan turun beramai-ramai ke setiap ceramah beliau dan akan memberi tekanan di khalayak ramai kepadanya dan tidak akan berundur selagi tak minta maaf,” tegasnya.

Beliau meminta masyarakat India menilai sendiri kebiadapan bekas pemimpin negara itu telah kembali ke kancah politik bersama pembangkang menjelang PRU-14.-MalaysiaGazette

 

 

 

1 Komen

  1. dunia dah berubah . kling dulu halal kling sekarang haram . tak bolih sebut nanti berdosa

Comments are closed.