Sallehen Mukhyi

KUALA LUMPUR – Baru keluar daripada parti Ahad yang lalu, Pas sudah pun mempunyai pengganti Khairuddin Othman untuk dipertandingkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi enggan mendedahkan nama calon itu.

Menurut beliau, tindakan Khairuddin sudah dijangkakan oleh pimpinan parti selepas namanya digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas peringkat negeri itu.

“Kami sebenarnya sudah jangkakan awal yang dia akan masuk PKR, walau bagaimanapun Pas sudah sediakan calon di Paya Jaras,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Awal Januari tahun ini, Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Pas Selangor digugurkan daripada jawatan AJK Selangor selepas lebih kurang 4 bulan beliau dilantik.

Mengulas lanjut, Sallehin mendakwa Khairuddin tinggalkan parti dan menyertai PKR kerana matlamatnya untuk memiliki jawatan dalam parti seperti mana yang dikehendakinya dalam Pas namun tidak berjaya.

“Mungkin kerana dia duduk dalam Pas dia rasa tidak boleh kekal dapat jawatan, jadi dia carilah PKR untuk dia kekal jawatan,” tambah beliau. -MalaysiaGazette