Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Othman Abdul.

ALOR SETAR – Manifesto atau Aku Janji Barisan Nasional (BN) dibuat selepas hasil kajian yang teliti dan kerajaan mempunyai dana untuk membiayai janji tersebut kepada rakyat.

Reaksi bersemangat seorang jentera BN semasa Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak membacakan manifesto pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2018.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Othman Abdul berkata, salah satu hasil utama pendapatan kerajaan adalah daripada hasil minyak memandangkan harga bahan api tersebut sudah meningkat dan ini bermakna pendapatan negara juga akan meningkat.

“Kiraan dalam pendapatan bajet yang lalu ialah AS$50 satu tong miyak, jadi apabila sudah meningkat kepada AS$65 satu tong bermakna sudah ada simpanan AS$15 satu tong.

“Makna keuntungan minyak yang dikeluarkan negara ini akan digunakan membiayai sebahagian besar daripada manifesto yang dibentang oleh kerajaan termasuk pembayaran BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kepada rakyat,” kata beliau dalam satu sidang media semalam selepas ceramah bersama rakyat di Taman Derga Jaya.

Menurut Othman, pandangan semua pakar dan badan profesional diambilkira dalam pembentangan manifesto tersebut dan tidak datang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seorang sahaja.

“Jadi itu bukan satu benda yang besar, kita kerajaan bila kita buat bajet pastinya kita mengira setiap sen kita peroleh dan pastinya kita mendapat pandangan daripada Bank Negara, daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Jadi kita bukan pendapat perdana menteri seorang, jadi semua pendapat diambilkira,” ujarnya.

Tegasnya, sebelum manifesto tersebut dibentang, kerajaan sudah mengira kemampuan dan pendapatan yang boleh dijana bagi membiayai semua janji mereka.

“Yang saya nak sebut ini tentang dana kerajaan, pendapatan kerajaan hasil kerajaan itu diambil kira terlebih dahulu sebelum kita membentangkan belanjawan manifesto apa pemberian kerajaan yang akan dilakukan dalam Aku Janji kerajaan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” ujarnya.

BN melancarkan manifesto mereka baru-baru ini untuk menghadapi PRU14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Bertajuk Hebatkan Negaraku, antara janji yang diikrarkan Najib ialah meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun, selain bantuan sekali (one-off) RM1,500 kepada anak penerima BR1M yang masuk institut pengajian tinggi. – MalaysiaGazette