KWSP
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

KUALA LUMPUR – Penetapan tarikh pilihan raya pada dasarnya melegakan pasaran yang sudah hampir setahun berlakunya market overhang atau keengganan pelabur memasuki pasaran kerana bimbang ianya terus jatuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, ini kerana akhirnya pertelingkahan politik di antara dua pihak akan selesai juga selepas tamatnya perang pilihan raya ini.

“Daripada perspektif seorang pelabur, kami gembira apabila akhirnya pilihan raya tiba jua kerana hampir setahun kita bercakap mengenainya dan ia telah menyebabkan pasaran mengalami “overhang” sedikit.

“Baguslah apabila akhirnya masa itu tiba juga.

“Akhirnya, kita dapat menyaksikan pertelingkahan besar dalam politik di Malaysia diselesaikan dan ketika ini kami menyaksikan pasaran menyebelahi kerajaan sedia ada,” katanya ketika ditemubual oleh Bloomberg Television hari ini.

Malaysia akan mengadakan pilihanraya umum yang ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei ini.

Menyentuh mengenai impak keputusan PRU kepada KWSP sebagai salah sebuah entiti pelaburan terbesar Malaysia, Shahril Ridza berpendapat, sebarang keputusan yang bakal diterima nanti tidak akan menjejaskan matlamat dan strategi jangka panjang institusi tersebut.

Ini kerana, jelasnya, pelaburan KWSP lebih tertumpu kepada pembangunan prasarana teras dan aktiviti eksport serta dipacu oleh aliran tunai dan aset dan bukannya oleh perkembangan politik.

“Sungguh, tidak kira apa yang berlaku di dalam dunia politik, kesemua aset itu akan memberikan prestasi yang baik setiap hari.

“Memang akan timbul sedikit isu yang membabitkan risiko politik seperti dalam sektor pembinaan dan hartanah tetapi seperti PRU-PRU yang lepas apabila berlakunya perubahan kerajaan, impaknya hanya seketika dan keadaan kembali pulih seperti biasa selepas itu,” tegasnya.

Ketika ditanya mengenai pemilihan hari bekerja sebagai hari mengundi, Shahril Ridza berkata, ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana Malaysia pernah mengadakan beberapa PRU pada bukan hujung minggu namun begitu begitu sebagai majikan beliau turut menghadapi masalah untuk mendapatkan formula yang sesuai bagi membolehkan para pekerja keluar mengundi.

Dalam perkembangan lain, Shahril Ridza berkata, KWSP sedang memilih satu atau dua syarikat insurans asing yang perlu melupuskan pegangan mereka kepada firma tempatan mengikut arahan yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Keputusan mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

Katanya, KWSP berunding dengan pelbagai syarikat insurans asing.-MalaysiaGazette