Maria Chin Abdullah
Maria Chin Abdullah

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) didakwa sebagai cubaan untuk mengurangkan peluang hak pengundi luar negara membuang undi.

Bekas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0). Maria Chin Abdullah berkata, ia hanya menyukarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara membuat perancangan untuk pulang mengundi.

“Dengan menetapkan 9 Mei sebagai hari pengundian hanya akan mengecewakan pengundi luar negara dan mengurangkan peluang mereka untuk mengundi.

“Kebanyakan pengundi luar negara terutama dari Singapura, Brunei, Thailand, dan Filipina mungkin telah merancang untuk pulang ke rumah untuk mengundi,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh 28 April (Sabtu) sebagai hari penamaan calon, diikuti 9 Mei (Rabu) sebagai hari mengundi bagi PRU14.

Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei dengan tempoh berkempen selama 11 hari, berbanding 15 hari pada PRU13.

Pada PRU14, SPR akan menggunakan daftar pemilih Suku Tahun Keempat 2017 yang menyenaraikan 14,940,627 pemilih berdaftar.

Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Maria Chin juga melahirkan rasa kecewa kerana tempoh kempen yang singkat iaitu 11 hari berbanding 15 hari dalam PRU13 lalu.

“Kali ini, hari mengundi (9 Mei) jatuh pada hari kerja. Ini menimbulkan persoalan kepada orang yang ingin mengambil cuti untuk balik ke kampung halaman mereka.

“Hari mengundi pada hari bekerja ini akan mengurangkan akses kepada pengundi, kecuali 9 Mei diisytiharkan sebagai cuti umum.

“Kebanyakan kakitangan awam boleh dikelaskan sebagai pengundi awal. Adakah ia bermakna bahawa mereka mempunyai kelebihan berbanding pengundi biasa?,” katanya lagi. – MalaysiaGazette