Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUANTAN – Tindakan pimpinan PAS tidak membuat penjelasan berhubung dakwaan parti itu menerima wang RM90 juta daripada UMNO adalah atas dasar enggan mengganggu proses perundangan kes itu di Mahkamah Tinggi London.

Naib Presiden PAS Datuk Nik Amar Nik Abdullah berkata peguam mereka memberi nasihat itu kerana kes saman yang dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report dijadualkan untuk perbicaraan pada 30 April ini.

Beliau berkata setakat ini, pihak yang membuat dakwaan itu juga masih tidak dapat mengemukakan bukti bahawa PAS ada menerima wang tersebut yang kononnya diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menarik sokongan parti itu.

“Pasal PAS bergabung dengan UMNO ini, sudah 10 tahun saya dengar sepanjang berada di PAS Pusat. Kita dalam mesyuarat di peringkat pusat tidak pernah bincang tentang bergabung dengan UMNO.

“Kita bertanding di semua kerusi UMNO, tak akan hendak kata kita nak bergabung dengan dia. Takkan UMNO nak beri kita duit untuk lawan dia. Tidak ke bodoh kalau buat begitu,” katanya pada ceramah ‘Anda Tanya PAS Jawab’ di sini malam tadi.- BERNAMA