Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas

KUALA LUMPUR – Tan Sri M. Kayveas menolak tawaran pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) menjadi calon Parlimen Segambut pada PRU-14.

Presiden myPP itu berkata, jika daripada dahulu BN menawarkan kerusi itu mungkin lain ceritanya dan beliau akan bekerja keras seperti apa yang dilakukan di Cameron Highlands.

“Kepada semua para penyokong (terutama sekali mereka yang ternanti-nantikan jawapan dengan penuh harapan) dukacita dimaklumkan #UncleBond (saya) telah diminta untuk mempertimbangkan berpindah ke Segambut dan jawapan saya ialah tidak!

BN sepatutnya menawarkan saya empat tahun lalu dan dengan sokongan dan kepercayaan anda yang tidak berbelah-bahagi terhadap saya, saya pastinya berkerja di sana sepertimana usaha di Cameron Highlands,” katanya dalam laman sosial Instagram hari ini.

Luahan Kayveas itu ada kaitan dengan namanya tidak terpilih sebagai calon BN Parlimen Cameron Highlands kerana MIC berkeras mahu mempertahankannya dalam PRU-14.

Kayveas dalam masa yang sama menyedari para penyokongnya di Cameron Highlands mungkin terkejut dengan apa yang berlaku dan majoriti mereka mahu dirinya pantang menyerah dan mengundur.

“Saya beri jaminan kepada anda bahawa selama ini saya telah berkhidmat tanpa penat lelah walaupun tidak mempunyai sebarang kerusi maka saya akan teruskan perjalanan bersama anda sama ada dengan kerusi atau tidak.

“Itu janji saya kerana politik hanyalah platform dan saya masih boleh menyumbang untuk negara tercinta dan rakyatnya tanpa politik.

“Cheer up folks, anda tidak akan pernah kalah dalam pertempuran melainkan anda menyerah kalah.

“Kebenarannya ialah kita masih pemenang kerana kita menggunakan jentera dan wang sendiri dan kita akan meneruskan dengan cara itu,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

Loga Bala intai kerusi Segambut?