Idris Haron.
Idris Haron.

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dengan penuh yakin menafikan kewujudan tsunami Melayu, malahan menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) negeri akan mencatat kemenangan lebih besar dalam pilihan raya akan datang.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, BN Melaka berpeluang untuk merampas satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada pembangkang.

Kerusi itu termasuk kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya (Bukit Katil) dan DUN Pengkalan Batu (Bachang), Bukit Baru dan Duyong.

Idris berkata, BN malahan mampu merampas Kesidang di kawasan bandar jika parti komponen bekerja lebih keras.

Katanya lagi, harapan BN itu bukannya tidak berasas, tetapi ia merupakan hasil usaha keras BN Melaka selama ini di kawasan setempat.

Idris percaya, usaha memenangi lebih banyak kerusi bukannya mustahil jika parti komponen tidak bermusuh atau melakukan sabotaj antara satu sama lain.

Beliau berkata, perpecahan dalaman DAP yang menyaksikan empat wakil rakyat meninggalkan parti itu telah menawarkan peluang terbaik kepada BN untuk mengambil kesempatan yang timbul.

Berkenaan khabar angin bahawa dirinya akan bertukar landasan dari kerusi DUN kepada Parlimen, Idris tidak memberi jawapan yang spesifik.

“Wartawan boleh terus menulis tentang khabar angin ini, tetapi saya telah berjanji kepada Perdana Menteri supaya tidak mendedahkan nama mana-mana calon BN.

” Saya juga akan terus menjadi panglima di Melaka dan memastikan kemenangan BN di Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette