Menara Felda
Menara FELDA

KUALA LUMPUR- Pinjaman-pinjaman yang diberikan Felda kepada peneroka seperti pembangunan ladang, sara hidup dan pendahuluan hasil yang diberikan semasa tempoh tanam semula bersifat pilihan dan bukannya mandatori.

Agensi itu dalam kenyataannya berkata, peneroka bebas untuk tidak menggunakan kemudahan pinjaman yang telah disediakan itu.

“Pinjaman-pinjaman ini bersifat satu pilihan kepada peneroka. Tambahan pula, peneroka mempunyai kemampuan untuk membuat bayaran balik hutang mereka melalui hasil kebun,” katanya.

Tambahan pula satu pelan jangka panjang telah diperkenalkan pada 23 Julai tahun lepas yang melibatkan perubahan struktur untuk membantu peneroka menyelesaikan isu hutang tanam semula yang dikatakan membebankan pengguna.

Ini termasuk pelupusan hutang tanam semula bernilai RM5,000 bagi semua peneroka yang bersama Felda.

Bagi 7,839 peneroka telah bebas hutang pembangunan ladang, mereka dipilih bagi menerima Insentif tersebut secara tunai sebanyak RM5,000 setiap orang.

Insentif kedua, melibatkan pelupusan lebihan hutang tanam semula bagi pembangunan ladang peneroka yang melebihi kos biasa.

Dana khas sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi tujuan itu selama lima tahun bermula tahun ini.

Insentif geran khas tanam semula sebanyak RM7,500 sehektar juga disediakan kepada peneroka yang bersama sistem Felda.

Model itu dapat mengurangkan beban hutang pembangunan tanam semula sehingga 70 peratus sekaligus meningkatkan aliran tunai peneroka semasa tempoh bayaran kembali hutang kelak.

“Kesan optimum insentif-insentif ini jelas membuktikan bahawa FELDA telah berjaya mengurangkan hutang peneroka sejak 2017 sekaligus menafikan tuduhan bahawa model hutang FELDA dijadikan alat untuk menjerat peneroka,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial kononnya, FELDA dengan sengaja menyebabkan hutang peneroka meningkat setiap tahun.-MalaysiaGazette