Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Dato Wan Nawawi Wan Ismail bersara awal bermula 22 April ini dan mengesahkan beliau telah dipilih sebagai calon Parlimen Kuala Terengganu atas tiket Barisan Nasional pada PRU14 ini.

KUALA LUMPUR – Parlimen Kuala Terengganu tiba-tiba menjadi panas sejak dua tiga hari ini apabila Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail  tiba-tiba `mengisytiharkan’ dirinya sendiri bakal bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Video pengumuman Wan Nawani, 61, yang mengumumkan sendiri beliau menjadi calon BN pada 19 April lalu kini tular di laman sosial.

Apa pun, tindakan Wan Nawawi yang bakal bersara sebulan lebih awal dari Jun iaitu esok seolah-olah mendahului pucuk pimpinan tertinggi BN yang belum membuat keputusan muktamad siapa yang akan diletakkan di kerusi Parlimen itu.

Bahkan, Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman difahamkan tidak tahu menahu kononnya pegawai kerajaan itu disebut-sebut bakal bertanding hatta di Kuala Terengganu pun.

Seandainya ‘impian’ Wan Nawawi `direalisasikan’, ia akan menimbulkan tanggapan pelik ketika UMNO dan BN sedang membina generasi pelapis.

Apalah parti itu sudah ketandusan calon selain menjadi tidak nampak muda?

Apa lagi jika ditampilkan orang lama yang berpencen berumur 61 tahun seperti Wan Nawawi yang tidak pernah terbabit langsung dalam politik serta tidak menyandang sebarang jawatan di peringkat bahagian dan cawangan.

Malah Wan Nawawi tidak pernah merasa merasai sepak terajang’ politik. Mengambil jalan mudah, tanpa berbincang dan bertemu ahli-ahli bahagian dan akar umbi di Kuala Terengganu,  Wan Nawawicuci kaki’ mengumumkan diri sendiri sebagai calon.

Jadi, di mana pengorbanan dan kerja keras pemimpin peringkat bahagian dari ketua, timbalan ketua dan naibnya yang selama ini memupuk ‘benih baharu’ supaya menjadi pokok rendang yang menaungi perjuangan.

Apatah lagi, parti pembangkang yang kini mula mengumumkan calon mereka dengan berani menampilkan dan membentuk muka baharu.

Sepatutnya, tugas Wan Nawawi bersama-sama menggilap muka baharu terutama calon muda yang berkaliber dan berpotensi untuk menggalas cabaran BN di Parlimen Kuala Terengganu. – MalaysiaGazette