MESRA.Ramesh bersama Ahmad Zahid dalam satu program BN di Bagan Datuk, Perak baru-baru ini.
MESRA.Ramesh bersama Ahmad Zahid dalam satu program BN di Bagan Datuk, Perak baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Nama Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao sebelum ini disebut-sebut calon Barisan Nasional (BN) mewakili MIC di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang.

Malah beliau dikatakan mendapat restu daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun pucuk pimpinan BN memutuskan DUN Hutan Melintang diberi kepada UMNO dan Datuk Khairuddin Tarmizi terpilih sebagai calon BN pada PRU14.

Ramesh dalam satu kenyataan hari ini berkata, walaupun nama beliau tidak dicalonkan, beliau langsung tidak berasa kecil hati.

“Saya Ramesh Rao, sungguh pun tidak dicalonkan, saya langsung tidak berasa kecil hati atau kecewa, malahan saya akan terus bantu calon BN di N54 untuk menang.

“Saya tidak akan menjadi bangsat seperti orang lain yang mengugut hendak bertanding sebagai calon bebas, jiwa dan ragaku, kekal setia bersama BN,” ujarnya.

Beliau yang merupakan anak jati di Hutan Melintang berjanji akan meneruskan program untuk rakyat yang sudah dilaksanakan sebelum ini untuk memastikan momentum sokongan rakyat kepada BN tidak akan luput menjelang hari mengundi pada 9 Mei nanti.

Ramesh berkata dari pada awal beliau tidak memasang hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan tetapi bersungguh-sungguh mahu BN merampas kerusi berkenaan dari PKR kerana wakil PKR jelas tidak membantu penduduk di kawasan tempat asal beliau itu.

“Saya dari awal tidak melobi untuk jadi calon tetapi hanya tampil untuk beri bantuan kepada rakyat dan kemudahan kepada pengundi memandangkan sudah dua penggal mereka dipinggirkan oleh wakil rakyat dari PKR.

“Saya bertekad akan bantu BN menang kerusi Hutan Melintang kali ini,” katanya.

Beliau menyokong keputusan pucuk pimpinan UMNO untuk memilih Khairuddin dan yakin calon BN itu akan bawa perubahan kepada Hutan Melintang.

Ramesh berkata misinya sekarang dan tetap sama ialah untuk membawa kemenangan kepada BN untuk kawasan DUN berkenaan.

“Sekarang misi saya untuk menangkan calon-calon BN, tidak timbul isu merajuk atau kecil hati,” katanya.

Nama Khairuddin diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi itu bersama dengan calon DUN Rungkup iaitu Datuk Shahrul Zaman Yahya juga dari UMNO.

Dua kerusi DUN berkenaan berada di bawah kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette