Home Ekonomi Kerjasama Geely selamatkan warga kerja Proton – Najib

Kerjasama Geely selamatkan warga kerja Proton – Najib

Proton

KUANTAN – Langkah DRB Hicom memilih Zhejiang Geely Holding Group (Geely) sebagai rakan strategik adalah satu tindakan yang tepat untuk memastikan syarikat pengeluar kereta nasional Proton terus mampu berdaya saing bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan tidak pernah sesekali campur tangan dalam soal itu, sebaliknya keputusan itu dilakukan oleh pihak pengurusan DRB Hicom dan Proton berdasarkan merit Geely sendiri yang kini menguasai kebanyakan saham syarikat automotif terkenal dunia.

“Geely mempunyai kemajuan yang tinggi dan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang banyak mencecah berbillion setahun selain jumlah kenderaan yang dijual juga besar pasarannya. Malah mereka juga pemilik kepada jenama Volvo yang dikuasai oleh Sweden selama ini.

“Selain itu 10 peratus daripada saham kumpulan Mercedes Benz juga dimiliki oleh Kumpulan Geely. Bayangkan manfaat apabila kita menjadi rakan strategik kepada syarikat yang kuat dan kukuh seperti itu. Ia bukan sahaja berasaskan kepada negara China semata-mata tetapi juga kerjasama multinasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga DRB-Hicom dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengarah Urusan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.

Najib berkata selaku Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjaga kepentingan negara, beliau sanggup mengenepikan politik dan mengeluarkan sumbangan dana untuk R&D dan pinjaman mudah demi memastikan kebajikan warga kerja Proton terus terbela.

“Sebenarnya kita tidak pernah jual kedaulatan negara, adalah menjadi hak Proton untuk ambil mereka (Geely) sebagai rakai strategik supaya masa depan Proton akan menjadi masa depan penuh harapan dan bukan sarat dengan kehampaan.

“Kalau kita main emosi sentimen sahaja tetapi kecundang dan rugi dalam perniagaan maka itu adalah satu pemikiran pak pandir yang tidak memberi apa-apa faedah kepada negara,” katanya.

Sehubungan itu, Najib menyifatkan tindakan pembangkang yang menggertak mahu membatalkan kontrak dengan China hanya akan merugikan negara, jika negara itu bertindak balas dengan memberi arahan kepada Geely untuk tidak lagi menjadi rakan strategik kepada Proton.

Katanya tindakan pembangkang itu sudah pasti akan merugikan pekerja DRB-Hicom dan Proton sendiri yang berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan.

Najib sebaliknya berkata pendekatan berbeza dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai hala tuju dan memikirkan sesuatu perkara sedalam-dalamnya serta mendahulukan kepentingan rakyat sebelum membuat suatu keputusan.

Pada majlis itu, Najib yang juga penyandang Parlimen Pekan mengumumkan ‘khabar gembira’ kepada penduduk Pekan, iaitu pembinaan 500 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di sini dilengkapi kemudahan surau, balai komuniti, taska, kedai dan gerai dengan peruntukan sebanyak RM103.6 juta.

“Kos untuk membina seunit rumah ini yang berkeluasan 700 kaki persegi adalah sebanyak RM207,382 tapi harga jualannya adalah RM35,000 sahaja… bermakna setiap pembeli akan menerima subsidi kerajaan sebanyak RM172,382.

“Kerajaan membayar subsidi lebih tinggi daripada harga yang dibayar. Itu pun jika tidak mampu untuk beli, kita ada skim sewa beli, dengan bayaran RM250 sebulan selama 25 tahun sudah boleh memiliki rumah, Itu sukar untuk ditandingi mana-mana negara,” katanya.

Najib kemudian mendapat sorakan gemuruh daripada kira-kira 2,500 kakitangan DRB HICOM yang hadir apabila mengumumkan peruntukan sebanyak 20 peratus daripada unit rumah yang akan dibina bermula Julai ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun setengah, akan diberikan keutamaan kepada kakitangan syarikat itu yang bekerja di Pekan.

Katanya sejak projek PPR dimulakan pada tahun 2001, kerajaan telah membina sebanyak 118,150 unit rumah di seluruh negara dengan 209 projek.

Katanya, daripada jumlah itu 85,198 unit untuk 125 projek sudah disiapkan dan bagi Pahang, sebanyak 3,668 unit daripada sasaran 5,469 unit sudah disiapkan dengan jumlah peruntukan yang disediakan sebanyak RM559.1 juta.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan bahawa bayaran insentif sebanyak RM500 kepada semua 60,000 kakitangan DRB HICOM akan dibayar pada 30 April. – BERNAMA