Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tiga kanan) memeluk erat calon N.08 Bukit Pasir, Datuk Noriah Mahat (tiga kiri) ketika menziarahinya pada Program Salam Sayang DUN Bukit Pasir di Pagoh, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2018.

PAGOH – Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengemudi jentera Wanita di seluruh negara.

“Kira-kira dua bulan lalu saya buat keputusan walaupun sebagai ketua Wanita BN dan diberi tempat untuk bertanding tetapi saya dah bincang dengan Pengerusi BN bahawa saya tak mahu bertanding.

“Datuk Seri Najib Tun Razak tanya kenapa tak nak bertanding, saya kata untuk pilihan raya ini amat mustahak (agar) jentera dapat bawa kemenangan kepada BN,” katanya.

Jelas beliau, perjuangan dalam parti politik tidak semestinya dengan menjadi calon pada pilihan raya, sebaliknya ia boleh dilakukan dengan bermacam cara.

Tambahnya, dalam berdepan dengan situasi pilihan raya umum kekuatan jentera adalah penting untuk membantu calon mencapai kemenangan di sesebuah kawasan.

“Pertama sekali bila berdepan dengan PRU tidak ada kawasan yang mudah pada saya. Walau kawasan boleh menang yang biru pekat pun tapi kita perlu berhati-hati,” katanya.

Ujarnya, aspek meletakkan calon juga merupakan satu elemen yang sangat penting kerana langkah itu banyak membantu dalam menentukan kemenangan.

Shahrizat berkata demikian ketika ditemui di rumah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) BN Bukit Pasir, Datuk Noriah Mahat di sini hari ini.

Terdahulu, Shahrizat yang juga Ketua Wanita BN membuat kejutan bertemu Noriah pada siri jelajahnya di Johor sebelum penamaan calon PRU esok.

Shahrizat berkata, dalam siri jelajahnya selama itu, beliau hanya berkesempatan untuk bertemu dengan tiga calon wanita di negeri ini iaitu calon bagi Parilmen Batu Pahat, Haliza Abdullah dan calon kerusi Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.

Sementara itu, Noriah berkata, beliau terkejut dengan kehadiran rombongan Shahrizat yang tiba-tiba muncul tanpa diketahuinya lebih awal.

“Pagi tadi sebenarnya saya ada buat majlis tahlil di rumah. Tiba-tiba saya dimaklumkan bahawa Tan Sri Shahrizat nak datang.

“Kehadiran beliau memberi semangat kepada kami untuk berjuang pada PRU ini.” katanya.

Ditanya mengenai kedudukannya sebagai calon BN di kawasan itu, Noriah berkata, beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk bertanding DUN di kawasan tersebut.

Katanya, meskipun Pagoh dibayangi dengan bayangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen dan kini menyertai Pakatan Harapan, namun beliau yakin kerja kuat yang dilakukan oleh jentera BN di kawasan tersebut sebelum ini pasti akan membantu parti keramat itu untuk mencapai kemenangan.

“Saya tidak nampak, ia sebagai satu ancaman kepada BN untuk tidak mengekalkan kerusi DUN di kawasan di sini,” ujarnya. – MalaysiaGazette