Presiden Media Tentera Rakyat (MTR), Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Salmah Pin (tengah) di Hotel Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO Bandar Tun Razak yakin dengan ‘kuasa’ mereka yang menjadi tulang belakang jentera parti Barisan Nasional (BN) akan dapat memberi kemenangan kepada Adnan Seman.

Ketuanya, Datuk Salmah Pin berkata, gerak kerja pihaknya sudah bermula sejak tahun lepas lagi dan semakin giat menjelang kempen PRU-14 ini.

“Kita beruntung kerana permintaan mahu calon UMNO di Bandar Tun Razak dibenarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) selepas menunggu selama 32 tahun.

“Jadi, bila sudah dapat kita kena kerja kuat tambahkan usaha memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN),” ujarnya kepada Malaysia Gazette.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Salmah Pin di Hotel Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 APRIL 2018

Beliau berkata demikian selepas majlis sumbangan Presiden NGO No 1 Negara Majlis Tentera Rakyat (MTR), Mohd. Ali Baharom sebanyak RM5,000 di sini hari ini.

Adnan merupakan calon BN Parlimen Bandar Tun Razak yang disifatkan Salmah sebagai calon boleh menang kerana penduduk asal yang muda dan berpendidikan.

Calon BN Bandar Tun Razak P124, Adnan Seman.

Sementara itu, Mohd. Ali pula menegaskan, peranan Wanita UMNO sebagai jentera paling berkesan dalam PRU tidak boleh dinafikan dan berharap impian memenangkan Adnan menjadi realiti.

“Sudah sembilan tahun, Bandar Tun Razak ini dimenangi oleh pembangkang. Jika dulu kita pilih Tan Sri Khalid Ibrahim yang ketika itu Menteri Besar Selangor dan harap boleh tolong penduduk tapi rupa-rupanya tidak ke mana.

“Justeru, kali ini kita mesti memastikan kemenangan kepada calon BN,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan UMNO Cawangan Bandar Tasik Selatan.

Mohd. Ali yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju juga menasihatkan pengundi supaya tidak memilih calon Pakatan Harapan, Datuk Kamarudin Jaafar kerana calon itu bukan penduduk asal dan tidak tahu kehendak penduduk tempatan.

“Dia (Kamarudin) orang Kelantan dan kalau menang tidak dapat menyelami kehendak pengundi. Saya mahu jentera terutama Wanita UMNO mempastikan jangan ‘pisang berbuah dua kali’ di Bandar Tun Razak,” katanya.- MalaysiaGazette