Prof Dr Abdul Aziz Bari antara nama yang disebut menjadi Menteri Besar (MB) Perak., DAP
Prof Dr Abdul Aziz Bari antara nama yang disebut menjadi Menteri Besar (MB) Perak.

IPOH – Setelah berteka teki mengenai desas desus beliau akan dilantik Menteri Besar (MB) Perak oleh DAP, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, Prof Dr Abdul Aziz Bari tidak menolak dakwaan itu sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi negeri itu.

Malah katanya, ada perbincangan gabungan pembangkang terhadap perkara itu di peringkat parti.

“Orang (ada) bincang tapi bukan saya (yang berbincang), bincang berdasarkan faktor-faktor tertentu yang saya fikir tidak boleh dinafikan.

“Tetapi sekarang terlalu awal untuk beritahu sebab kita tidak tahu berapa kerusi kita boleh menang,” katanya sebagaimana dipetik.

Abdul Aziz adalah satu-satunya calon Melayu yang diketengahkan oleh DAP sebagai calon parti itu yang bertanding di atas tiket PKR bagi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), 9 Mei depan.

Di Perak, DAP meletakkan misi merebut tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN.

Pencalonan Abdul Aziz disifatkan strategi DAP dalam persediaan menyediakan calon Menteri Besar bagi mentadbir negeri itu selepas PRU14.

Pada PRU13, Abdul Aziz tewas di tangan BN dengan majoriti 1,644 undi ketika bertanding di Sabak Bernam. -MalaysiaGazette