Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bercakap kepada media pada Program Ziarah Sayang DUN Meru sempena kempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Taman Meru 4, Kapar, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2018.

KLANG – Wanita Barisan Nasional (BN) menggesa para pengundi agar tidak memilih calon Touch N Go sebagai wakil rakyat mereka dalam PRU-14.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, rakyat perlu bijak memilih bakal wakil rakyat dan tidak terpedaya dengan calon yang muncul hanya pada musim pilihan raya.

“Kalau kita nak pilih mereka yang hanya datang dan pergi macam Touch N Go saja, saya rasa akhirnya yang akan rugi adalah pengundi dan rakyat di Parlimen Kapar.

“Nak cari wakil rakyat, biarlah yang selepas pilihan raya boleh turun ke padang, nak menjaga semua pengundi dan rakyat yang ada di Kapar,” katanya selepas Majlis Ziarah Sayang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di sini hari ini.

Pada majlis itu, Shahrizat menziarahi seorang pengundi DUN Meru dan Parlimen Kapar, Rozita Hamam yang diserang penyakit strok hampir sebulan lalu.

Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (kiri) bersama calon Barisan Nasional P.109 Kapar, Datuk Mohana Muniandy (dua kiri) dan calon Barisan Nasional N.42 Meru, Khairul Anuar Saimun (kanan) melawat Rozita Hamam (tengah) yang terlantar sakit akibat angin ahmar dirumahnya pada Ziarah Sayang DUN Meru di Taman Meru 4, Kapar, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2018.

Hadir sama calon BN Parlimen Kapar, selaku Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy dan Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Nor Hayati Onn.

Shahrizat juga berkata, calon BN di Parlimen Kapar pada PRU-14 bukan calang-calang orang kerana beliau bukan hanya muncul musim pilihan raya sebaliknya Mohana telah memberi perkhidmatan di kawasan yang sama sejak lima tahun lalu.

“Semua kenal Datuk Mohana, Ketua Wanita MIC Kebangsaan di mana beliau mempunyai potensi yang amat besar. Beliau bukan orang baru, bukan sekadar pilihan raya sahaa muncul.

“Kalau kita tengok sebelah sana (pembangkang), ramai daripada muka baharu atau muka muda, bila pilihan raya sahaja, dia keluar (kawasan) lepas itu tak tahu apa jadi.

“Tapi untuk calon-calon BN termasuk Wanita BN mereka yang kita ketengahkan mempunyai rekod perjuangan untuk masyarakat sekian lama,” katanya.

Kata Shahrizat lagi, bukan semua calon wakil rakyat mampu memberi perkhidmatan dan turun padang khususnya Parlimen Kapar yang mempunyai kawasan terbesar di Malaysia dengan lebih 124,000 pengundi.

“Saya amat yakin, Datuk Mohana adalah orang yang terbaik, beliau muda dan cergas, kalau kenal Datuk Mohana boleh tahu dia boleh buat kerja.

“Di Kapar ini adalah satu-satunya Parlimen terbesar, bukan calang-calang orang boleh buat kerja di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.