Calon Barisan Nasional untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Luit, Nur Hidayah Mohd Shahaimi. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MEI 2018.
Calon Barisan Nasional untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Luit, Nur Hidayah Mohd Shahaimi. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MEI 2018.

MARAN – Bersalin anak kedua pada 30 Mac lalu dan kini sedang berpantang 32 hari bukan alasan untuk tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Malah, selepas seminggu melahirkan bayi perempuan itu, calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit sudah mula bertemu masyarakat seperti rutin biasa sebelum ini.

Malah, Nur Hidayah Mohd. Shahaimi tetap turun bersama penyokong BN selepas seminggu melahirkan anak kedua menghadiri Majlis Pelancaran Manifesto BN Parlimen, awal bulan lalu.

Bagi wanita berusia 35 tahun itu, tiada waktu untuk berehat dan duduk di rumah sahaja serta mengharapkan jentera parti yang melakukan kerja.

Calon Barisan Nasional N.42 Luit, Nur Hidayah Mohd Shahaimi (kanan) yang masih dalam berpantang mencium bayinya, Naurah Farisha Ahmad Faizal, 1 bulan, sambil diperhatikan ahli jawatankuasa Puteri UMNO Maran di Kampung Sentosa, Maran, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MEI 2018

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Maran menyasarkan untuk meningkatkan majoriti berbanding PRU13.

“Saya perlu bekerja keras kerana menang majoriti dalam 400 undi. Walaupun kali ini saya berdepan persaingan tiga penjuru, ia tiada masalah kerana PRU13 juga saya mengalami pertembungan yang sama.

“Saya juga berterima kasih kepada seluruh jentera kerana sentiasa berada di dalam keadaan siap sedia,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sentosa di sini hari ini.

Ibu kepada dua anak, Ahmad Farish Fathi Ahmad Faizal, 1, dan Naura Farisha, sebulan, sedang berehat sebentar ketika ditemui sebelum meneruskan kempen.

Nur Hidayah Mohd Shahaimi (dua kanan) berbincang bersama jawatankuasa Puteri UMNO Maran mengenai kempen PRU-14 di Kampung Sentosa, Maran, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MEI 2018

Nur Hidayah berkata, sepanjang berkempen dua anaknya itu ditinggalkan di rumah dan dijaga oleh ahli keluarga.

Ditanya keadaan berpantang menghadkan pergerakannya, katanya, beliau boleh berjalan seperti biasa apabila keluar rumah seawal 7 pagi.

“Saya hanya menjaga makan dan mendengar nasihat doktor. Kempen tetap diteruskan dan gerak kerja ini sebenarnya tidak pernah terhenti sejak saya menjadi wakil rakyat pada 2013.

“Dari pagi saya keluar dan pulang tengahari berehat sekejap dan keluar semula untuk berjumpa seberapa ramai pengundi,” ujarnya.

Beliau merupakan calon termuda yang ditampilkan pada 2013 iaitu berusia 29 tahun ketika itu dengan berkelulusan daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pada PRU14 beliau berdepan calon Pas, Mohd. Sofian Abd. Jalil dan calon PKR, Rosli Amin. – MalaysiaGazette