Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) diiringi Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin (kiri) melambaikan tangan kepada jentera wanita Barisan Nasional pada Program Ziarah Sayang DUN Kuala Sentul di Felda Dahlia Jengka 3, Maran. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2018.
Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) diiringi Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin (kiri) melambaikan tangan kepada jentera wanita Barisan Nasional pada Program Ziarah Sayang DUN Kuala Sentul di Felda Dahlia Jengka 3, Maran. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2018.

MARAN – Pergerakan Wanita UMNO menyifatkan kempen yang dijalankan Pakatan Harapan (PH) di media sosial pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti tidak takut tuhan.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sudahlah tidak takut undang-udang, kempen PH kini penuh dengan berita palsu, putar belit dan fitnah kepada Barisan Nasional (BN)

Beliau mendakwa pendekatan pakatan pembangkang yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai keterlaluan dan tidak berintegriti.

“Bila saya baca di media sosial, saya pun geleng kepala. Pembangkang ini tidak takut Tuhan ke? Takut dengan undang-undang satu hal.

“Cara pembangkang menjalankan kempen PRU14 tidak mencerminkan budaya yang baik kerana bersifat tohmahan dan putar-belit semata-mata demi memburukkan pihak lawan.

“Pembangkang bukan sahaja menyebarkan berita palsu untuk mengelirukan para pengundi, malah menimbulkan semula isu-isu lama yang sudah diselesaikan kerajaan pimpinan BN sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul di Jengka 3 di sini semalam.

Turut hadir calon BN DUN Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin dan Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Roslin Abdul Rahman.

Menurut Shahrizat, beliau menyeru Wanita UMNO seluruh negara supaya sentiasa mengamalkan prinsip berhemah ketika menjalankan kempen untuk membantu kemenangan BN pada pilihan raya kali ini.

Beliau menegaskan, ‘tudung merah’ yang dipakai sayap parti UMNO itu kini menjadi ketakutan kepada parti pembangkang.

“Kita (Wanita UMNO) bukan pembawa fitnah dan saya tidak benarkan berlaku. Lebih baik kita kekalkan prinsip Wanita UMNO dan buat kerja dengan bersemangat.

“Kita bukan sekadar jentera yang menjalankan kerja kempen untuk parti (BN), tetapi juga mempunyai beratus ribu ahli yang merupakan pengundi tegar BN,” katanya. – MalaysiaGazette