Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah bercakap kepada media selepas melawat Pusat Mengundi Awal di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2018.
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah bercakap kepada media selepas melawat Pusat Mengundi Awal di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak termasuk petugas media yang mendaftar sebagai pengundi pos diminta supaya tidak bimbang dengan kelewatan penerimaan kertas undi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang memberi jaminan kertas undi pos akan sampai ke tangan pengundi berkata, tidak wujud sebarang masalah teknikal seperti yang dikhuatiri semua.

“Tidak ada masalah teknikal sebenarnya, kita kena ingat bahawa ada yang di luar negara belum menerima kertas undi pos dan pada masa yang sama ada yang sudah menerima dan sudah mengembalikannya semula.

“Kita ada tempoh masa dia, ada juga pengamal media sudah menerima, memangkah dan mengembalikan kepada kita (SPR). Tempoh masa tidak terlepas lagi jangan bimbang sangat di sebalik keterujaan untuk mengundi pos.

“Pejabat Pos dah beri jaminan dan mandat maka saya berharap masalah anda akan selesai. Saya juga mendapat maklumat bahawa pengundi di Korea dan juga Australia sudah menerima kertas undi melalui pos dan sudah menghantar semula,” kata beliau kepada pemberita di Bukit Aman.

Terdahulu Mohd Hashim yang memantau proses pengundian awal warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Mess Pegawai Kanan dan Perkep mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau yang turut ditanya mengenai dakwaan Bersih 2.0 bahawa seramai 500,000 pengundi didaftarkan di alamat yang sama manakala 2 juta pengundi lagi tidak beralamat berkata, SPR tidak menerima sebarang aduan mengenainya daripada Bersih 2.0.

“Itu di mana, tidak kemukakan aduan pada kita pun setakat ini, sila tampil ke hadapan tunjuk bukti dan beri aduan, kita siasat nanti,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan pihak tertentu di Dewan Undangan Negeri Sekinchan yang kononnya menawarkan cabutan bertuah bernilai RM25,000 kepada orang ramai pada  sebuah program di situ, Mohd Hashim meminta orang ramai rujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

“SPR hanya menyiasat segala kesalahan berkaitan undi sahaja, kalau melibatkan rasuah atau salah laku sila rujuk kepada SPRM,” katanya. – MalaysiaGazette