Menurut beliau, pemimpin BN bersama rakyat tanpa mengira musim sama ada sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
“Kita apabila dipilih rakyat akan terus berkhidmat kepada rakyat dan menunaikan amanah diberikan oleh rakyat,” katanya pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kompleks Sukan Tongod dan Arena Belia Tongod di Tongod dekat sini, hari ini.
Hadir sama, calon BN untuk kawasan Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan calon BN kawasan Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah.
Musa berkata berbanding parti pembangkang, mereka merupakan parti dan pemimpin semusim yang hanya muncul ketika pilihan raya.
Katanya pemimpin parti pembangkang selepas pilihan raya akan hilang dan akan muncul semula selepas lima tahun ketika pilihan raya.
Menurutnya mereka juga memberikan janji kosong, bercakap bohong dan membuat fitnah sebagai modal untuk meraih sokongan.
Justeru, beliau meminta rakyat di negeri ini tidak terpedaya dengan dakyah dan janji pemimpin parti pembangkang yang tidak mampu mereka tunaikan.
“Yang penting kita mesti sedar dan tahu bahawa mana satu parti yang tepati janji iaitu BN.”
Dalam pada itu, Musa juga membidas parti Warisan yang mahu menghapuskan pemberian geran komunal jika mereka dapat memerintah negeri ini.
Menurutnya pemberian geran komunal kepada penduduk negeri ini adalah kaedah terbaik dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sabah kerana tanah yang diberikan akan diwarisi generasi ke generasi.
Katanya, ini kerana syarat pemberian geran komunal adalah ia tidak boleh dijual kepada pihak lain. – MalaysiaGazette
















