Calon Barisan Nasional (BN) P.099 Ampang, Datuk Leong Kim Soon memnyampaikan penerangan ringkas pada sesi ramah mesra dan berjumpa dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga sekitar Ampang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Tanjung Seafood Restaurant, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2018
Calon Barisan Nasional (BN) P.099 Ampang, Datuk Leong Kim Soon memnyampaikan penerangan ringkas pada sesi ramah mesra dan berjumpa dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga sekitar Ampang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Tanjung Seafood Restaurant, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Tiga masalah utama yang menjadi kebuntuan penduduk Ampang akan selesai sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir kawasan tersebut selepas PRU-14.

Calon BN Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Leong Kim Soon berkata, ketiga-tiga masalah itu ialah kekurangan rumah murah mampu milik, masalah kesesakan jalan raya dan rungutan peniaga dan pengunjung di Pasar Awam Ampang.

Ini kerana beliau telah menggariskan perkara itu sebagai misi yang akan diutamakan jika menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Kalau diberi kepercayaan, saya berjanji akan membantu belia-belia terutama pasangan yang baru berkahwin untuk memiliki rumah sendiri.

“Malah, kesesakan yang berlaku setiap hari terutama pada waktu puncak akan diselesaikan dengan segera sama ada akan melebarkan jalan dan sebagainya,” katanya.

Kim Soon berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil 30 NGO di sini petang tadi.

Tambah beliau, wakil-wakil NGO yang ditemui hari ini turut mengutarakan perkara sama dan kerana itu tindakan akan dilakukan segera selepas BN menang.

Meskipun beliau merupakan calon muka baharu BN bagi kerusi Parlimen Ampang namun beliau yakin tiga masalah utama yang dihadapi oleh penduduk diambil perkiraan oleh pengundi untuk beralih fikiran memilih BN kali ini.

“Masalah wakil rakyat di sini sebelum ini, dia tidak cuba untuk menyelesaikan rungutan penduduk hingga menyebabkan kebuntuan mereka tidak berkesudahan,” katanya. – MalaysiaGazette