Datuk Seri Adnan Yaakob

BENTONG – Barisan Nasional (BN) negeri Pahang menyerahkan kepada Istana Sultan Abu Bakar untuk memilih calon yang difikirkan sesuai untuk menjadi Menteri Besar.

Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, jawatan tersebut akan diputuskan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Pelantikan exco kerajaan negeri juga akan ditentukan kemudian.

“Istana perlu terlebih dahulu memilih menteri besar,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Dimaklumkan, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) negeri sudah menyembah maklum keputusan PRu14 negeri Pahang kepada pihak istana.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang juga dikatakan sudah menemui pihak istana berhubung pelantikan menteri besar dan majlis mengangkat sumpah.

Walaupun mencatatkan penurunan prestasi, Pahang merupakan salah sebuah daripada dua negeri di semenanjung yang berjaya dipertahankan Barisan Nasional. Negeri-negeri lain tumpas kepada pembangkang.

Ketika ditanya mengenai kekalahan calon BN di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Panching, Luit, Jengka, Chenor dan Damak, Adnan berkata, ia adalah disebabkan komposisi pengundi di kawasan terbabit.

Jelas beliau, kerusi yang disandang DUN Panching dan DUN Jengka bukanlah kerusi selamat.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya sudah maklumkan kepada calon bagi DUN Panching, Datuk Mohd Zaili Besar dan calon DUN Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail bahawa kerusi mereka sandang itu bukanlah ‘selamat’ dan perlu bekerja lebih keras.

“Saya bukan kata mereka berdua tidak buat program atau tidak turun padang kerana mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sangat kuat bekerja cuma, masalah pecahan pengundi di kawasan terbabit yang memberikan sedikit masalah untuk memperoleh undi mencukupi bagi memberikan kemenangan kepada mereka.

“Cuma kerusi DUN Luit dan Chenor yang mana itu adalah kerusi selamat untuk BN.

“Mungkin ada masalah yang kita tidak tahu dan kita juga sudah cuba untuk mempertahankan kerusi DUN Damak namun tidak berjaya,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong BN yang memberi kepercayaan kepada parti itu untuk menerajui negeri Pahang sepenggal lagi. – MalaysiaGazette