Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja nampak semakin sihat malah teruja selepas kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu.

Malah jelas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, suaminya kini sudah bersedia untuk kembali ke dunia politik.

“Beliau (Anwar) tampak gembira, sihat dan kuat ketika ini. Lebih bersemangat daripada selalu kerana sejarah sudah terukir dengan kejayaan kita apabila rakyat bangkit bersuara kehendak mereka.

“Walaupun tidak dapat bersama-sama kita secara fizikal tetapi semangat itu tidak pernah luntur dan semakin kuat ketika ini. Beliau tidak sabar untuk keluar,” katanya selepas menziarahi Anwar Hospital Rehabilitasi Cheras hari ini.

Tambah Wan Azizah, pertemuan beliau dengan Yang diPertuan Agung juga telah membuahkan hasil apabila pengampunan yang diharapkan sekian lama akhirnya telah tertunai.

“Agong menyampaikan titah berkenaan untuk memberi pengampunan serta merta kepada Anwar. Jadi kami akan melaksanakan proses sewajarnya untuk mendapatkan pengampunan buat Anwar.

“Baginda sebenarnya telah menyatakan hasrat bahawa dirinya sendiri mahu melihat Anwar bebas dengan segera.

“Yang penting, dengan pengampunan yang diberikan Di-Pertuan Agung akan memberikan peluang kepada Anwar kembali aktif berpolitik seperti sebelum ini, kami sangat gembiara hasrat yang menjadi impian selama bertahun akhirnya kini sudah menjadi kenyataan.

“Anwar kini dalam proses untuk dibebaskan ketika ini, dalam masa terdekat, Insya Allah ianya akan jadi kenyataan,” ujar beliau.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh, Selangor selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar menafikan kesalahan itu dan mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi politik, mengikut perkiraan beliau sepatutnya bebas pada 8 Jun nanti.- MalaysiaGazette