Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan watikah pelantikan kepada Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Sabah Ke-17 di Istana Negeri malam ini. --fotoBERNAMA (2018)
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan watikah pelantikan kepada Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Sabah Ke-17 di Istana Negeri malam ini. --fotoBERNAMA (2018)

KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman malam ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri sekali gus menubuhkan kerajaan negeri campuran baharu dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Musa, yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini pukul 11.08 malam ini.

Beliau turut menandatangani surat watikah pelantikan disaksikan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.

Sepuluh lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai anggota jemaah menteri Sabah, termasuk Presiden Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang juga ADUN Tambunan dan anggota Parlimen Keningau, sebagai timbalan ketua menteri.

Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Karanaan Datuk Masidi Manjun dan ADUN Sulaman Datuk Hajiji Mohd Noor yang masing-masing dikekalkan sebagai menteri penuh, manakala ADUN Tamparuli Datuk Jahid Jahim, yang sebelum ini Pembantu Menteri Belia dan Sukan sebelum tewas mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13), dilantik sebagai menteri penuh.

Manakala, enam lagi yang sebelum ini menjadi pembantu menteri turut dilantik sebagai menteri penuh iaitu Datuk Ellron Alfred Angin, Datuk Bolkiah Ismail, Datuk Bobbey Suan, Datuk Masiung Banah, Datuk Musbah Jamli dan seorang menteri wanita dalam kabinet Datuk Anita Baranting.

Mereka mengangkat sumpah selepas BN dan parti Star bekerjasama untuk mencapai majoriti mudah iaitu 31 kerusi yang membolehkan pembentukan sebuah kerajaan.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam, BN memperoleh 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun tidak dapat menubuhkan kerajaan kerana kerusi DUN yang diperoleh tidak mencapai majoriti mudah.

Bagaimanapun, dengan gabungan 29 kerusi BN dan dua kerusi daripada Parti Star, BN layak menubuhkan kerajaan.

Pada PRU14 kali ini, BN memperoleh 29 kerusi DUN, Warisan (21 kerusi), DAP (enam) dan PKR (dua).

Pada PRU13 lalu, BN memenangi 48 kerusi DUN dan 22 kerusi Parlimen namun pada PRU-14, BN cuma memperoleh 29 kerusi DUN dan 10 kerusi Parlimen.

— BERNAMA