Ahli Jawatakuasa Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Muhammad Takiyuddin Halim membuat kenyataan secara terbuka mendesak kepimpinan parti bertanggungjawab di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 di PWTC malam tadi.

KUALA LUMPUR – Sambutan ulang tahun UMNO ke-72 di PWTC malam tadi dicemari insiden pergaduhan membabitkan ahli parti itu dengan sekumpulan individu yang mendakwa mewakili Pergerakan Pemuda UMNO.

Semua itu berlaku apabila Ahli Jawatakuasa Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Muhammad Takiyuddin Halim membuat kenyataan secara terbuka mendesak kepimpinan parti bertanggungjawab di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Lelaki itu yang juga mendakwa Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda UMNO Bahagian Seputeh melahirkan rasa tidak puas hatinya itu selepas mendakwa diminta berbuat demikian oleh 100 ahli parti yang turut berada di situ.

Bagaimanaun, tindakan Muhammad Takiyuddin itu telah menimbulkan kemarahan para penyokong parti yang tidak sependapat dengannya sehingga menimbulkan kekecohan apabila kira-kira 30 penyokong Muhammad Takiuddin turut melawan secara agresif.

Bagaimanapun, tindakan diluar kawalan itu dapat dileraikan oleh ahli-ahli parti yang melihat kejadian serta polis bantuan yang turut berada di lokasi kejadian.

Muhammad Takiuddin pada mulanya dibawa ke perkarangan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra sebelum diminta supaya meninggalkan kawasan itu bagi mengelakkan daripada terus berlaku ketegangan.

Sementara itu, Ketua Pergerakan UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan,Datuk Razlan Rafii tidak hadir pada majlis tahlil yang sama. – MalaysiaGazette