Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja berhubung permohonan pengampunan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diawalkan jam 11 pagi, bukan 5 petang sebagaimana diumumkan sebelum ini.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil, meminta semua penyokong Anwar hadir ke Hospital Rehabilitasi Cheras pada jam 10.30 pagi bagi menyambut pembebasannya.

“Keadilan telah terima makluman bahawa mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Selasa, 15 Mei telah diawalkan dari jam 5 petang ke jam 11 pagi.

“Oleh itu, semua penyokong Anwar dijemput hadir ke Hospital Rehabilitasi Cheras pada jam 10.30 pagi bagi menyambut pembebasan beliau,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memaklumkan Lembaga Pengampunan Diraja berhubung permohonan pengampunan ke atas bapanya dijangka mula bersidang jam 5 petang esok. – MalaysiaGazette