Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang akhbar khas Majlis Tertinggi UMNO ditemani Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua kanan) dan Ketua Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2018
Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang akhbar khas Majlis Tertinggi UMNO ditemani Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua kanan) dan Ketua Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang didakwa lompat parti sudah digugurkan keahlian sebagai ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Perkara itu ditegaskan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan memaklumkan, pengguguran itu adalah secara automatik.

“Mereka bukan lagi ahli UMNO kerana mereka menyokong kerajaan yang bukan di bawah BN. Saya tak mengaku bahawa mereka masih lagi pemimpin UMNO tetapi telah menyokong kerajaan sebelah sana.

“Saya ingin maklumkan kedua mereka gugur secara automatik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan, tidak ada peraturan dan perlembagaan yang menyatakan menyokong pembangkang sebagai sesuatu yang boleh diterima di dalam parti.

Katanya, perkara itu kini diserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat keputusan.

Pada Sabtu lepas, bekas Exco Kerajaan Perak yang juga ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengesahkan dirinya bersama ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi bukan melompat parti.

Meskipun menyokong nama ADUN Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu (PKR), sebagai calon Menteri Besar Perak namun mereka memaklumkan pendirian dan sokongan itu kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika mengadap baginda di Istana Kinta di sini atas beberapa sebab.

Sokongan kedua-dua ADUN BN itu membolehkan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri hari ini dengan perkenan Sultan Perak apabila mendapat 31 kerusi berbanding 29 kerusi asal dimenangi PH pada PRU-14 lalu.

Pembentukan Kerajaan Perak ‘tergantung’ sejak Rabu lalu berikutan tiada mana-mana parti daripada Barisan Nasional (BN), PKR dan Pas mendapat majoriti mudah iaitu 30 kerusi DUN.

PH menang di 29 kerusi DUN, manakala BN (27) dan Pas (3). – MalaysiaGazette