Tun Dr. Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan mempunyai kes terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.

Memetik Reuters, Dr Mahathir berkata hukuman terhadap bekas Presiden UMNO itu akan hanya dijatuhkan sekiranya terdapat kesalahan dalam siasatan oleh kerajaan.

“Jika tiada kes, kami tidak akan tahan tanpa perbicaraan,” katanya sebagaimana dipetik.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) berjanji akan menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika gabungan itu memenangi Putrajaya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengulangi pendirian beliau bahawa akan hanya memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun.

“Pada peringkat awal, mungkin satu atau dua tahun, saya akan jadi perdana menteri. Saya akan memainkan peranan di sebalik tabir walaupun saya berundur,” katanya.

Ditanya samada Anwar akan menggantikan beliau dalam mengepalai PH untuk lima tahun akan datang, Dr. Mahathir berkata, Ketua Umum PKR itu perlu bertanding di kerusi Parlimen terlebih dahulu bagi membolehkan beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

“Saya mengharapkan dia memainkan peranan yang sama dengan para pemimpin tiga parti lain. Tidak akan ada kuasa khusus yang diberikan kecuali diberikan kepada menteri atau timbalan menteri atau timbalan perdana menteri,” katanya.

Suami kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu dijadual dibebaskan daripada penjara esok selepas mendapat pengampunan Diraja daripada Yang Dipertuan Agung, Sultan Muhammad V.

Anwar akan hadir dalam program “Himpunan Merdeka Rakyat” yang akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya dan menyampaikan ucapan pertama selepas keluar daripada Penjara Sungai Buloh, pada malam esok. – MalaysiaGazette