Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun

PUTRAJAYA – Kehadiran kepimpinan tertinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan kehakiman ke Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini dipercayai mempunyai hubung kait dengan tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi bercuti sementara menunggu siasatan selesai.

MalaysiaGazette dimaklumkan Yayasan Kepimpinan Perdana tidak menganjurkan sebarang sidang media hari ini dipercayai bagi memberi laluan kepada pertemuan dan perbincangan tertutup dengan kepimpinan PDRM dan kehakiman susulan cubaan Apandi menyembunyikan bukti dakwaan salah laku 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tinjauan MalaysiaGazette pada sebelah petang mendapati antara yang hadir bertemu Perdana Menteri ialah Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad yang tiba jam 2.40 petang dan beredar kira-kira sejam kemudian.

Selain itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut kelihatan memasuki Yayasan Kepimpinan Perdana kira-kira jam 3.30 petang disusuli Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh 10 minit selepas itu.

Turut dipanggil menemui Perdana Menteri ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador. – MalaysiaGazette