KUALA LUMPUR – Kelab Kilat Kuala Lumpur (Kilat KL) mempertahankan kejuaraan Piala FA Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) musim ini dengan mengatasi Pulapol FC 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Babak awal permainan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan.

Namun kelab itu lebih mengancam apabila berjaya mendahului lawan 2-0 hasil jaringan Saysupallan Vallu (m-16) dan Eugine Philip Abbah (m-20) untuk saingan separuh masa.

Bersambung babak kedua, Pulapol FC terus menggandakan asakan memaksa Kilat KL berhempas pulas mengawal kubu pertahanan. Hasilnya, Mohd Ashraf Hamidi berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan pada m-61.

Bagaimanapun, kelebihan yang dimiliki Kilat KL kekal hingga wisel penamat dan membolehkan mereka muncul juara.

Ketua Jurulatih Kilat KL, Farliefirdaus Salim memuji persembahan anak buahnya yang berjaya mengekalkan momentum walaupun diberi tekanan hebat Pulapol sejak awal permainan.

“Alhamdulillah, kami berjaya mempertahankan kejuaraan musim ini. Terima kasih juga kepada semua yang terbabit terutama Pengurusan TNB kerana terus memberi sokongan kepada pasukan ini,” katanya lagi.

Kilat KL menerima wang tunai RM15,000 serta piala dan medal manakala selaku naib juara, Pulapol FC membawa pulang RM7,000 serta medal. – MalaysiaGazette