Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media Pakatan Harapan mengenai jaminan terhadap penjawat awam di Galeri PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2018 PPBM
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media Pakatan Harapan mengenai jaminan terhadap penjawat awam di Galeri PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2018

PUTRAJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghantar senarai cadangan nama menteri kabinet kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Muhyiddin menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan senarai nama itu untuk diletakkan di kementerian-kementerian bersesuaian dengan jumlah kerusi yang dimenangi PPBM dalam PRU-14 lalu.

“Saya cuma berjumpa dengan Tun, sebagai Perdana Menteri, saya telah kemukakan senarai cadangan saya iaitu ahli Parlimen PPBM yang akan mengepelai beberapa kementerian sebagai menteri ataupun timbalan menteri.

“Ini kerana kita hanya mempunyai 13 ahli Parlimen, tolak Tun, saya dan Mukhriz jadi jumlahnya tidak besar.

“Sebagaimana yang dikehendaki oleh Tun, kita telah mengemukakan senarai itu dan kita serah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan supaya perwakilan PPBM dalam kerajaan akan dilihat berperanan,” katanya kepada pemberita ketika mahu meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri buat pertama kali mengumumkan senarai menteri kanan yang akan menganggotai Kabinet Pakatan Harapan selepas memenangi PRU-14 lalu.

Antaranya ialah Menteri Kewangan disandang oleh Lim Guan Eng, Menteri Dalam Negeri dipegang oleh Muhyiddin dan Menteri Pertahanan pula ialah Mohamad Sabu.

Bagaimanapun senarai menteri kanan itu dipertikaikan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramlii yang mendakwa pihaknya tidak dibawa berunding untuk menetapkan barisan menteri kabinet Pakatan Harapan.

Muhyiddin juga berkata, Kabinet Pakatan Harapan akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat kerana semua parti komponen sudah menghantar wakil masing-masing untuk dipertiimbangkan.

“Parti-parti lain pun sudah kemukakan dan beberapa hari lagi Tun akan pertimbangkan. Bagi saya memang amat penting proses pembentukan kerajaan dan jemaah menteri perlu disegerakan.

“Ini kerana kita telah menerima mandat besar, harapan rakyat begitu tinggi dan mereka nak melihat adakah kerajaan ini betul-betul bekerja untuk rakyat atau bagaimana.

“Pastinya Tun sudah mulakan lebih awal lagi sebab itu kita nak selesaikan senarai nama kita segerakan proses menamakan bakal-bakal jemaah menteri oleh Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette