1MDB

KUALA LUMPUR – Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menganggarkan sejumlah RM42.26 bilion diperlukan untuk menyelesaikan kos prinsipal dan faedah bagi pinjaman-pinjaman yang matang antara November 2015 hingga Mei 2039.

Jabatan Audit Negara berkata, ia berdasarkan jangkaan pelan rasionalisasi atau pemulihan 1MDB yang dilaksanakan serta tidak ada pinjaman-pinjaman baru dibuat selepas bulan Oktober 2015.

Ini bermakna 1MDB perlu menyediakan dana yang besar untuk melunaskan bayaran komitmen yang tinggi pada tahun 2016 sejumlah RM4.88 bilion, pada tahun 2023 (RM14.74 bilion) dan 2039 (RM5.14 bilion).

“1MDB juga memerlukan dana sekurang-kurangnya RM1.52 bilion setiap tahun dari bulan November 2015 hingga Mei 2024 untuk membayar balik pinjaman,” menurut laporan itu.

Bagi tempoh tahun 2016 hingga 2023, kos pinjaman yang perlu ditanggung oleh Kumpulan 1MDB berjumlah RM9.08 bilion, menurut laporan yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara itu.

Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang diterbitkan pada tahun 2009 dijangka matang pada tahun 2039 (30 tahun) dengan kadar bayaran pembiayaan berjumlah RM287.50 juta setahun.

Komitmen Kumpulan 1MDB bagi IMTN dari bulan November 2015 hingga tahun 2039 berjumlah RM11.90 bilion yang merangkumi RM5 bilion prinsipal dan RM6.90 bilion kos pembiayaan.

Baki pinjaman Kumpulan 1MDB dijangkakan berjumlah RM28.21 bilion manakala kedudukan aset Kumpulan 1MDB berjumlah RM27.01 bilion.

Sebahagian aset hartanah akan dibangunkan untuk menambah nilainya dan memberi pulangan di masa hadapan. – MalaysiaGazette