Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan artikel dalam sebuah laman blog yang memetiknya mengatakan wujud petanda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeleweng dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, artikel dikeluarkan oleh sebuah blog, vharian.blogspot.my sebagai fitnah yang bertujuan melaga-lagakan beliau dengan Najib.

“Saya menafikan sekeras-sekerasnya laporan tersebut kerana ia bersifat fitnah dan dilihat cuba melaga-lagakan saya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Ingin saya menegaskan bahawa saya tidak pernah sesekali berkata demikian, sebaliknya kenyataan asal saya kepada Channel News Asia (CNA) telah dimanipulasi oleh portal berkenaan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Khairy, dakwaan blog itu mengatakan beliau nampak penyelewengan dalam 1MDB adalah tidak benar sama sekali.

“Dalam temubual dengan  CNA beberapa hari lalu, saya ada menyebut bahawa seluruh kepimpinan dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) telah terkhilaf dengan tindakan kami yang gagal menasihati Datuk Seri Najib tentang penolakan rakyat terhadap gagasan politik yang diketuai beliau sebelum PRU-14.

“Itulah ‘petanda penolakan’ yang saya maksudkan, dan tidak pernah sesekali saya mengatakan bahawa saya telah nampak penyelewengan dalam hal 1MDB, seperti tajuk berita portal tersebut,” katanya lagi.

Menurut Khairy lagi, siasatan berhubung 1MDB masih berjalan dan tidak wajar sekiranya menghukum Najib yang masih belum didapati bersalah.

“Kita semua maklum bahawa polis sedang mengadakan siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan dan ingin saya tegaskan bahawa selaku bekas Perdana Menteri dan rakyat Malaysia, Dato’ Seri Najib perlu dihormati selagi tiada pendakwaan di atas semangat ‘innocent until proven guilty’,” ujarnya lagi- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast