Anggota Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengotakan janji untuk memberi royalti petroleum kepada Kelantan.
Nik Mohamad Abduh

KUALA LUMPUR – Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata sekatan terhadap abangnya Nik Omar daripada menjadi imam solat lima waktu dan tenaga kuliah di masjid Tok Guru, Pulau Melaka merupakan keputusan keluarga besar NikmatiLlah beberapa hari sebelum Ramadan.

Sekatan tersebut, katanya, adalah sekatan bersifat sementara iaitu sehingga Nik Omar mendapat restu bondanya selepas keputusannya untuk bertanding di dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Beliau berkata, isu restu ibu sepatutnya bersifat dalaman namun oleh kerana Nik Omar sendiri telah memberitahu perkata tersebut kepada media memberi kesan yang amat besar kepada seorang ibu yang terpaksa menanggung rasa malu teramat apabila bersua dengan masyarakat awam.

“Ia membawa kepada tindak balas keras daripada bonda yang tidak pernah kami lihat dalam hidup kami sebelum ini. Ia terus memanjang sehingga hari ini. Tidak perlu saya perincikan,” katanya di laman facebooknya.

Semalam Nik Omar memberitahu beliau telah ‘disingkirkan’ dari Masjid Tok Guru dan tindakan itu adalah harga yang perlu dibayar selepas keputusannya bertanding pada pilihan raya umum lepas di bawah pakatan harapan.

Menurut Nik Abduh, setakat ini sekatan tersebut tiada hubungan dengan pemutusan hubungan silaturrahim dan segala-galanya berjalan seperti biasa.

Setiap hujung minggu, katanya, keluarga al Aziziah sentiasa berkumpul untuk makan malam bersama bonda di rumah dan di situ keakraban akan terus terjalin.

“Kami adik beradik sentiasa mendoakan ‘al rusyd’ untuk beliau. Kami kenal beliau sebagaimana beliau kenal kami berbanding orang lain. Apatahlah bonda kami sendiri..,” katanya.

Menurut beliau, dalam sebuah masyarakat yang bebas, isu tersebut mungkin kecil tetapi di dalam keluarga beliau  yang telah diasuh dengan didikan agama oleh datuk dan ayahanda, mentaati bonda adalah agama sepenuhnya.

“Restu seorang ibu adalah lebih besar daripada restu 5 atau 10 juta rakyat Malaysia. Ibu takkan tewas di sisi Allah. Ibu adalah hujah Allah di muka bumi ke atas anak-anak.

“Semoga rakan-rakan muslimin dan muslimat, seluruh pencinta Allah turut juga berdoa untuk kami sekeluarga di bulan yang penuh berkat ini. Kami akan mengaminkannya setiap malam insya Allah,” katanya. – MalaysiaGazettte