Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk beberapa jawatan utama dalam UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti adalah mengarut dan tidak munasabah.

Menurut Khairy Jamaluddin, sebelum ini amalan sedemikianlah salah satu punca rakyat menolak parti utama kaum Melayu itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, peraturan tidak ada pertandingan tidak boleh lagi digunapakai kerana ia memberikan mesej buruk kepada orang ramai.

“Tidak, tidak boleh… kita tidak boleh lagi ada peraturan tiada pertandingan ini lagi dalam UMNO.

“Kami menghantar mesej buruk kepada orang ramai. Saya tak setuju kalau ada apa-apa jawatan tak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO kali ini,” kata beliau semasa ditemui selepas bermesyuarat di Ibupejabat UMNO di sini hari ini.

Menurut Khairy, walaupun cadangan itu akan memberi jalan selamat kepadanya dimana akan dilantik secara automatik menjadi Naib Presiden UMNO tanpa bertanding tetapi ia sebaliknya menghakis kepercayaan orang ramai kepada parti tersebut.

“Cadangan peraturan tiada pertandingan ini menjadi punca mengapa orang ramai hilang kepercayaan kita. Ia seolah-olah kita tak buka ruang demokrasi kepada ahli-ahli kita.

“Jadi saya berpendapat, hentikan sahaja semua cadangan mengarut untuk tiada pertandingan dalam pemilihan kali ini,” katanya lagi.

Selain itu, Khairy juga menggesa supaya pemimpin UMNO untuk berdepan cabaran  dan melihat realiti kerana budaya tiada pertandingan itu sebenarnya antara punca Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

“Kita punya budaya untuk tidak dipertandingkan jawatan ini adalah antara penyebab kita kalah PRU,” katanya lagi. – MalaysiaGazette