Geng Gagak Hitam ditangkap
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim menunjukkan barang rampasan kes samun pada sidang media Kes Samun Wang Asing di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 20 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah dipercayai ahli Geng Gagak Hitam yang terlibat dalam kes samun ditembak mati oleh polis di Jalan Memanda, Ampang awal pagi semalam.

Kumpulan samun itu dipercayai terlibat menyamun mangsa-mangsa yang mahu melakukan pertukaran mata wang asing dolar Amerika sejak 2016 lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian sekitar pukul 2.50 pagi itu, pasukan Jenayah Berat (D9) telah menangkap empat lelaki termasuk seorang lelaki berbangsa Arab dan Afrika yang disyaki anggota geng tersebut.

Polis berjaya menumpaskan kumpulan itu susulan menerima laporan seorang mangsa yang mendakwa wang tunai sebanyak AS$150,000 milik syarikatnya telah disamun.

Mangsa disamun semasa beliau berurusan dengan seorang individu lain, yang dipercayai orang tengah untuk melakukan transaksi pertukaran wang asing.

Suspek yang diburu polis saki baki geng Gagak Hitam
Mazlan Lazim menunjukkan gambar lakaran wajah suspek pada sidang media kes samun membabitkan Geng Gagak Hitam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 20 MEI 2018.

Individu itu dikatakan telah menawarkan nilai pertukaran wang asing yang lebih tinggi berbanding pasaran semasa iaitu RM6.50 berbanding dolar Amerika.

Mazlan berkata, modus operandi geng Gagak Hitam itu adalah dengan menularkan operasinya di Youtube dan Facebook dengan menawarkan perkhidmatan pertukaran mata wang dolar dengan kadar lebih tinggi.

“Geng ini kemudian akan menyamun mangsa-mangsa yang membawa wang  mereka untuk ditukarkan dari Bukit Bintang ke Jalan Damai, Kuala Lumpur.

“Pasukan D9 banyak menerima maklumat orang ramai ini tentang kejadian samun pada setiap bulan.

 

“Dalam kes ini, kami menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang disamun semasa berjumpa dengan individu di sebuah bangunan komersial di Jalan Tun Razak untuk urusan pertukaran mata wang sekitar 10.30 malam.

“Bagaimanapun semasa urusan itu, mangsa diminta mengikut seorang lelaki warga Arab yang tidak dikenali menaiki kereta Toyota Vios hitam untuk dibawa ke Bukit Bintang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, dari Bukit Bintang mangsa bersama individu yang disyaki orang tengah itu kemudiannya dibawa ke Jalan Damai 2.

Bagaimanapun, dalam perjalanan itu kereta tersebut berhenti secara tiba-tiba di sebuah kawasan gelap.

Ketika inilah mangsa nampak sebuah lagi kereta Vios hitam sedang mengekori kereta yang dinaikinya.

“Kereta yang dinaikinya berhenti dan tiba tiba empat suspek yang mengekori kenderaannya berhenti dan mendekati mangsa.

“Salah seorang suspek telah meletakkan parang di leher mangsa dan menggunakan alat renjatan elektrik. Mereka merampas beg berisi wang tunai AS$150,000 dan melarikan diri dengan kereta.

“Kebetulan anggota D9 yang meronda melihat insiden berkenaan dan mendengar jeritan mangsa,” katanya.

Tindakan pantas polis mengejar suspek yang melarikan diri berjaya disekat di Jalan Memanda 2, Ampang, sebelum kesemua lima suspek termasuk 4 warga Afrika berpecah.

 

Seorang suspek yang berjaya ditahan telah bertindak agresif melibas sebilah parang ke arah salah seorang anggota hingga hampir mencederakan tangan kirinya.

Bagi mempertahankan diri, anggota polis telah melepaskan 4 das tembakan menyebabkan suspek tersungkur dan disahkan mati ditempat kejadian. Identiti si mati sedang dikenal pasti,” katanya.

Ekoran insiden itu, empat lagi suspek yang berusia antara 28 hingga 50 tahun berjaya ditangkap dan direman empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dua buah kereta Vios dan parang berjenama ‘Tranmontina Brasil” sepanjang 2 kaki 1 inci turut dirampas.

“Polis masih memburu dua lagi suspek yang masih bebas dengan wang yang dilarikan itu dan percaya tangkapan mereka akan menyelesaikan kes samun mata wang melibatkan Geng Gagak Hitam yang aktif sejak 2016 lalu dalam tempoh singkat ini.

“Dua warga tempatan yang disyaki cuba memerangkap mangsa dalam kejadian itu adalah antara empat yang sedang direman dan polis sedang menyiasat status kemasukan warga asing geng itu ke negara ini,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang dua suspek yang masih bebas supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Mohd Shukri 018-2684412 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Wangsa Maju Asisten Komisioner Khairil Idzwan Ahmad di 019 3592582- MalaysiaGazette