Sebahagian pasukan anggota polis yang bertugas membawa barang-barang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dirampas untuk membantu siasatan berkenaan kes 1MDB ke dalam trak polis di Pavillion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai mengira jumlah wang rampasan dari sebuah apartmen mewah, Pavilion Residences selepas 11 jam membuat kiraan di ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara 238, Jalan Tun Razak.

Pihak polis bagaimanapun tidak memberikan jumlah sebenar wang rampasan tersebut dan ia akan dibawa ke Bank Negara Malaysia (BNM) bagi proses kiraan semula untuk memastikan jumlah sebenar memandangkan wang tunai tersebut melibatkan pelbagai mata wang luar negara.

Menurut laporan, terdapat 11 beg di mana semua wang tunai tersebut disimpan.

Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menemui yang wang tunai pelbagai mata wang di dalam 72 beg bagasi semasa pemeriksaan Jumaat lepas di apartmen tersebut.

Apartmen tersebut didakwa milik rakan kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bergelar seorang “Tan Sri”.

Pada Jumaat lalu, PDRM menyerbut tiga unit kondominium yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap 1MDB.

Polis merampas 72 beg berisi wang tunai dan barangan kemas bersama 284 kotak mengandungi beg tangan berjenama mewah. – MalaysiaGazette