Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Pas ketandusan pemimpin negarawan yang berjiwa besar dan memandang ke hadapan, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, faktor itu menyebabkan Pas yang berusia lebih 60 tahun tidak mampu mengambil alih pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dari Barisan Nasional (BN) dalam 14 kali pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Beliau memberi contoh, selagi Pas mempunyai pemimpin berfikiran mundur ke belakang seperti Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, selagi itu parti berkenaan hanya mampu mentadbir kerajaan negeri di Kelantan dan terbaharu di Terengganu.

“Kenyataan Mohd Amar yang tidak kisah parti itu tidak menang di pusat dalam PRU14 baru-baru ini, kerana negara terlalu banyak berhutang menandakan lemahnya jiwa dan betapa kerdilnya semangat Pas dalam menghadapi kemelut politik negara.

“Bahkan dalam nada bersahaja beliau (Mohd Amar) merasakan lebih baik Pakatan Harapan (PH) memerintah sekarang selama lima tahun untuk menyelesaikan hutang sebelum Pas mengambil alih kerajaan pusat dalam PRU akan datang.

“Jika ini kenyataan dan mentaliti pemimpin Pas, tidak hairan Pas tidak mampu melangkah jauh walaupun sudah berusia lebih daripada 60 tahun,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena memberitahu, sepatutnya Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberi cadangan kepada kerajaan PH bagaimana hendak mengembalikan negara di landasan sebenar, memulihkan ekonomi negara, membayar hutang negara, menghapuskan rasuah dan korupsi serta membebaskan semua agensi kerajaan yang ditekan selama ini.

Katanya, kenyataan pemimpin Pas itu adalah jawapan mengapa parti berkenaan gagal menguasai negeri di Pantai Barat dan hanya mampu mentadbir Kelantan dan Terengganu sahaja.

“Mungkin daripada awal beliau dan pemimpin Pas sudah menghidu PH akan memenangi Putrajaya, lalu Pas mengambil langkah bersendirian dan tidak mahu bergabung kerana takutkan kemenangan yang menjadi sebab Pas menanggung bebanan hutang negara.

“Saya hairan kenyataan seperti itu diungkapkan oleh seorang Naib Presiden sebuah parti Islam yang dianggap paling lama di negara ini.

“Tidakkah ini mencerminkan pemimpin Pas berfikiran pasif dan hanya mahu mengambil kesempatan terhadap politik negara daripada pihak lain tanpa berusaha membantu menyelesai masalah negara yang kronik dan rumit sekarang,” ujar beliau.

Beliau memberitahu, Pas sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak menyelesai masalah negara dan tidak mahu menjadi sebahagian dari rakyat yang berusaha membangunkan negara tercinta hasil dari kerosakan oleh tangan-tangan pemimpin negara sebelum ini.

“Dalam keadaan rakyat banyak memberi input dan nasihat yang baik kepada kerajaan pasca PRU 14, Pas pula mengambil sikap berlepas diri dan beretorik politik,” katanya.

Katanya, sikap pemimpin Pas yang masih berdelusi ini amat memalukan rakyat dan jika beliau masih merasakan partinya akan mendapat sokongan terbanyak serta akan memenangi Putrajaya lima tahun lagi dengan sokongan rakyat, silakan terus bermimpi di siang hari. – MalaysiaGazette